1 Hari 1 Hadis
СтатистикаPerkongsian Hadis Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Johor
- Последний пост
- 14 авг.
- Последнее чтение
- 15 авг.
- Постов за неделю
- 3
- Всего постов
- 675
- Тип
- открытый
- Язык
- индонезийский
- Категория
- Религия (по похожим)
- В каталоге с
- 12 авг.
- 1/24сутки в ленте
- 6 903
- 1/48двое суток
- 7 910
- 1/72трое суток
- 8 532
Оценка по просмотрам недавних постов: пост набирает почти всё за первые сутки.
Посты
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS Bersama Dengan Orang Yang Dicintai عَنْ أَبِي وَائِلٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بن مسعود رضي الله عنه عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ الْمَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ Daripada Abu Wa`il daripada Abdullah bin Masud RA, daripada Nabi SAW bahawa baginda bersabda: "Seseorang itu akan bersama dengan orang yang dicintainya." (HR Bukhari No: 5702) Status: Hadis Sahih Pengajaran: 1. Orang yang "mencintai" seseorang akan sentiasa bersama dengan orang yang "dicintai". 2. Ibnu Hajar menjelaskan: sesungguhnya kita akan bersama dengan orang yang kita cinta, sentiasa akan didekatkan dengan orang yang dicintai malah kita akan termasuk dalam golongan yang dicintai. 3. Cintailah orang yang soleh dengan meneladani cara hidup, akhlak, perjuangan dan amalan orang yang dicintai kerana seseorang akan dibangkitkan di hari kiamat bersama dengan orang yang dicintai. 4. Ibnu Battal dalam Syarah Sahih Al-Bukhari, hlm. 9/333, menyatakan: Ketika seorang mencintai orang yang soleh, di mana dia mencintai mereka kerana ketaatan mereka pada Allah sedang cinta itu merupakan perbuatan hati dan keyakinan hati maka Allah memberi pahala padanya sebagaimana pahala orang soleh yang dicintainya. Kerana niat itu adalah yang asal sedang amal itu mengikuti niat. قِيلَ لِلنَّبِىِّ صلى الله عليه وسلم الرَّجُلُ يُحِبُّ الْقَوْمَ وَلَمَّا يَلْحَقْ بِهِمْ قَالَ الْمَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ Ada yang berkata pada Nabi SAW, ‘Ada seseorang yang mencintai suatu kaum, namun ia tidak pernah berjumpa dengan mereka.’ Nabi SAW lantas bersabda, ‘Setiap orang akan dikumpulkan bersama orang yang ia cintai.’” (HR Muslim no: 2640) Status: Hadis Sahih. 5. Orang yang cinta kepada Rasulullah SAW, ia akan tetap dapat bersama Rasulullah SAW memasuki Syurga walaupun tingkatan syurganya berbeza (Fathul Bari, 10: 555). 6. Ibn Rajab menjelaskan bahawa cinta yang sebenar akan melahirkan ketaatan, mencontohi sunnah, menjauhi maksiat, dan mempertahankan agama. Cinta kepada Rasulullah SAW adalah dengan sentiasa mencontohi, mengikuti dan mentaati perintah dan larangan. Perbuatan tersebut akan menatijahkan kecintaan Rasulullah SAW kepada kita walaupun kita tidak pernah menemui baginda. Rabiul Awal, bulan yang mengingatkan kita kepada kelahiran Nabi Muhammad SAW. Marilah kita menunjukkan kecintaan kepada Nabi SAW. Dalam kita membina kehidupan di negara tercinta ini, kita mengharapkan kebahagiaan hidup ini bukan hanya di dunia malah juga di akhirat nanti. Justeru jadikanlah Rasul serta orang-orang soleh sebagai qudwah untuk kita contohi dan cintai. Moga kita akan bersama mereka di Syurga nanti. Selamat Menyambut Maulidur Rasul SAW 1448 Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2026 "Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati" #TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah #BinaNegaraRahmah #PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor #PalestinMerdeka 02hb Rabiulawal 1448H 15hb Ogos 2026 Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah : telegram.me/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS Bersifat Jujur dan Jauhi Dusta عَنْ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى الْبِرِّ وَإِنَّ الْبِرَّ يَهْدِي إِلَى الْجَنَّةِ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا وَإِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الْفُجُورِ وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا Daripada Abdullah RA daripada Nabi SAW baginda bersabda: "Sesungguhnya kejujuran akan membimbing pada kebaikan, dan kebaikan itu akan membimbing ke syurga. Sesungguhnya jika seseorang yang sentiasa berlaku jujur hingga ia akan dicatat sebagai orang yang jujur. Dan sesungguhnya kedustaan itu akan membawa kepada kejahatan, dan sesungguhnya kejahatan itu akan membawa ke neraka. Sesungguhnya jika seseorang yang selalu berdusta sehingga dia dicatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta." (HR Bukhari No: 5743) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih Pengajaran: 1. Setiap Muslim dituntut memiliki sifat kejujuran dalam setiap amal dan perbuatan. Seseorang dianggap jujur apabila perkataannya menepati kebenaran, tindakannya selaras dengan pengakuannya dan niatnya bebas daripada penipuan. 2. Menurut Imam al-Nawawi, kejujuran membawa seseorang kepada ketaatan dan segala bentuk kebaikan yang diredai Allah. Apabila seseorang membiasakan diri dengan kejujuran, sifat tersebut membimbingnya kepada amal soleh yang lain. 3. Sifat jujur yang dimiliki secara berterusan akan menjadi tabiat kebiasaan yang akhirnya membentuk akhlak kepada seseorang 4. Kejujuran membawa kepada kebenaran dan kebaikan kerana orang yang benar akan lebih mudah menjaga amanah, memenuhi janji dan menghindari pengkhianatan. Sifat jujur akan menjadi pemandu dan pembimbing seseorang Muslim di dunia untuk menjadi orang yang soleh. 5. Sifat dusta dan berbohong sama ada dalam percakapan, tulisan mahupun perbuatan akan mendorong seseorang kepada kejahatan dan membawa kepada kefasikan. 6. Sifat dusta dan bohong yang menjadi kebiasaan secara berterusan kepada seseorang, akhirnya akan membentuk tabiat dan akhlak yang buruk. 7. Sifat dusta akan menjadi pemandu dan pembimbing seseorang ke neraka. Firman Allah: إِنَّ اللَّهَ لا يَهْدِي مَنْ هُوَ مُسْرِفٌ كَذَّابٌ Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepda orang-orang yang melampaui batas lagi pendusta (Mukmin: 28). 8. Kejujuran dan dusta bukan sekadar tindakan sekali-sekala. Kedua-duanya boleh menjadi kebiasaan, kemudian membentuk watak dan akhirnya menentukan kedudukan seseorang di sisi Allah. Orang yang terus memilih kejujuran akan dicatat sebagai siddiq, manakala orang yang membiasakan dusta akan dicatat sebagai kazzab. Berusahalah memiliki sifat jujur dan jauhilah dusta dan bohong. Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2026 "Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati" #TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah #BinaNegaraRahmah #PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor #PalestinMerdeka 01hb Rabiulawal 1448H 14hb Ogos 2026 Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah : telegram.me/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS Berbohong Yang Dibenarkan عَنْ أُمِّ كُلْثُومٍ بِنْتِ عُقْبَةَ بْنِ أَبِي مُعَيْطٍ، وَكَانَتْ مِنَ الْمُهَاجِرَاتِ الْأُوَلِ اللَّاتِي بَايَعْنَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، أَنَّهَا سَمِعَتْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَقُولُ: لَيْسَ الْكَذَّابُ الَّذِي يُصْلِحُ بَيْنَ النَّاسِ، وَيَقُولُ خَيْرًا، وَيَنْمِي خَيْرًا قَالَ ابْنُ شِهَابٍ: وَلَمْ أَسْمَعْ يُرَخَّصُ فِي شَيْءٍ مِمَّا يَقُولُ النَّاسُ كَذِبٌ إِلَّا فِي ثَلَاثٍ: الْحَرْبُ، وَالْإِصْلَاحُ بَيْنَ النَّاسِ، وَحَدِيثُ الرَّجُلِ امْرَأَتَهُ، وَحَدِيثُ الْمَرْأَةِ زَوْجَهَا Daripada Ummu Kulthum binti ‘Uqbah bin Abi Mu‘ait RA—beliau termasuk antara wanita Muhajirah terawal yang berbai‘ah kepada Nabi SAW—beliau memberitahu bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Bukanlah dianggap pendusta orang yang mendamaikan antara manusia, lalu dia menyampaikan perkara yang baik atau mengatakan perkara yang baik.” Ibn Syihab al-Zuhri berkata: “Aku tidak pernah mendengar diberikan kelonggaran dalam sesuatu yang disebut oleh manusia sebagai dusta kecuali dalam tiga keadaan: dusta dalam peperangan, dusta untuk mendamaikan pertelingkahan antara manusia, dan dusta suami terhadap isteri atau isteri terhadap suami (untuk meraih kebahagiaan atau menghindari keburukan). (HR Muslim No: 4717) Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih Pengajaran: 1. Berbohong dan berdusta adalah perbuatan yang dilarang. 2. Islam mengharuskan berbohong demi memelihara jiwa, harta dan harga diri dalam tiga hal: a. Dalam strategi peperangan (perang itu adalah tipu daya. Strategi peperangan tidak boleh diketahui oleh musuh) b. Dalam usaha mendamaikan antara pihak yang sedang bergaduh (elakkan daripada sesuatu yang boleh memarakkan api permusuhan dua pihak yang sedang berselisih melalui sesuatu perkhabaran yang mendamaikan contohnya kita belikan makanan untuk seseorang dengan memberitahu sipolan (musuhnya) yang mengirimkan untuk diberi padanya) c. Dalam usaha mewujudkan kebahagiaan dan keharmonian pasangan suamu isteri (contohnya suami menyatakan masakan isterinya teramatlah sedap sedangkan hakikatnya memang tak sedap). 3. Kelonggaran tersebut tertakluk kepada beberapa prinsip dan dalam batas yang dibenarkan syariat antaranya: · Terdapat maslahat yang dibenarkan · Maslahat itu tidak dapat dicapai dengan cara biasa yang lebih jujur · Tidak mengambil atau menafikan hak orang lain · Tidak menzalimi pihak yang tidak bersalah · Tidak menutup jenayah atau kemungkaran · Tidak menimbulkan kerosakan yang lebih besar. 4. Hadis ini tidak menghalalkan budaya berbohong. Rukhsah yang diberikan sangat terbatas kepada keadaan yang mengandungi maslahat besar, iaitu strategi dalam peperangan yang sah, perdamaian antara manusia dan kata-kata yang memupuk kasih sayang antara suami isteri. Kelonggaran tersebut tidak boleh digunakan untuk melakukan pengkhianatan, menutup kezaliman, menafikan hak atau memperdaya manusia. Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2026 "Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati" #TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah #BinaNegaraRahmah #PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor #PalestinMerdeka 29hb Safar 1448H 13hb Ogos 2026 Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah : telegram.me/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS Sabar Ketika Bersama Manusia عَنْ يَحْيَى بْنِ وَثَّابٍ عَنْ شَيْخٍ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمُسْلِمُ إِذَا كَانَ مُخَالِطًا النَّاسَ وَيَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ خَيْرٌ مِنْ الْمُسْلِمِ الَّذِي لَا يُخَالِطُ النَّاسَ وَلَا يَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ قَالَ أَبُو عِيسَى قَالَ ابْنُ أَبِي عَدِيٍّ كَانَ شُعْبَةُ يَرَى أَنَّهُ ابْنُ عُمَرَ Daripada Yahya bin Watsab dari seorang syeikh salah seorang sahabat Rasulullah daripada Nabi SAW baginda bersabda: "Seorang muslim yang bergaul (berinteraksi sosial) dengan orang lain dan bersabar terhadap gangguan mereka, adalah lebih baik daripada seorang muslim yang tidak bergaul (tidak berinteraksi sosial) dengan orang lain dan tidak bersabar terhadap gangguan mereka." Ibnu Abi Adi berkata: Syu'bah berpendapat syeikh yang dimaksudkan itu adalah Ibnu Umar. (HR Tirmizi No: 507) Dar Kutub Ilmiyyah. Status: Hadis Sahih. Pengajaran: 1. Sifat sabar adalah tuntutan Iman yang perlu ada pada setiap Muslim 2. Kewujudan kita di tengah-tengah masyarakat bukan Islam atau masyarakat yang tidak menghayati Islam adalah suatu yang dipuji oleh Islam. Kehadirannya menjadi sumber peluang bagi memperoleh kebaikan yang banyak bagi sesiapa yang bersifat positif dan mahu meraihnya. 3. Kewujudan kita di tengah-tengah masyarakat adalah suatu keperluan untuk merebut peluang berperanan memperbaiki masyarakat. Peluang untuk menyebarkan dakwah, menjadi pengislah kepada kejahilan dan kejahatan. Melaksanakan tugas amar makruf nahi mungkar memerlukan kesabaran. 4. Berada di tengah-tengah kelompok manusia yang pelbagai ragam, melakukan engagement dengan semua golongan dan kaum, Islam dan bukan Islam, pastilah akan menghadapi pelbagai kerenah, kejahatan dan kesulitan. Bersabar dan berakhlak mulia terhadap mereka adalah amalan terpuji. 5. Muslim yang ingin ganjaran besar di sisi Allah akan menghadapi semua golongan masyarakat, Islam dan bukan Islam atau pelaku maksiat ketika mengauli mereka dengan sifat RAHMAH bukan kebencian, permusuhan dan perkauman. 6. Bersabar menghadapi pelbagai kerenah kelompok semasa engagement dilakukan akan mendapat ganjaran yang besar disisi Allah. Ibn Hajar menjelaskan bahawa bersabar terhadap gangguan merupakan satu bentuk jihad melawan nafsu, kerana jiwa manusia secara semula jadi merasa sakit apabila dihina atau diperlakukan secara buruk. 7. Mereka yang memilih untuk berada di luar dari tengah-tengah manusia atau di luar dari tengah-tengah kejahatan, tidak seharusnya merasa dirinya lebih suci dari mereka yang yang berada di tengah-tengah manusia dan kejahatan. Namun bergaul lebih baik apabila membawa manfaat, manakala menjauhkan diri lebih selamat apabila seseorang bimbang agamanya rosak. 8. Hadis ini bukan perintah supaya seseorang terus berada dalam persekitaran yang merosakkan iman atau membahayakan dirinya. Pergaulan diutamakan apabila membawa manfaat dan seseorang mampu menjaga agamanya. Pengasingan pula boleh dipilih apabila ia lebih selamat daripada fitnah atau kemudaratan. 9. Penting bagi Muslim untuk mempertingkatkan amal-amal peribadinya secara konsisten agar menjadi qudwah kepada orang lain dan menjadi benteng terpengaruh dengan kejahatan juga keburukan mereka. Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2026 "Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati" #TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah #BinaNegaraRahmah #PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor #PalestinMerdeka 28hb Safar 1448H 12hb Ogos 2026 Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah : telegram.me/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS Memutuskan Ukhuwah Menjauhkan Rahmat عَنْ هِشَامَ بْنَ عَامِرٍ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ مُسْلِمًا فَوْقَ ثَلَاثِ لَيَالٍ فَإِنْ كَانَ تَصَارَمَا فَوْقَ ثَلَاثٍ فَإِنَّهُمَا نَاكِبَانِ عَنْ الْحَقِّ مَا دَامَا عَلَى صُرَامِهِمَا وَأَوَّلُهُمَا فَيْئًا فَسَبْقُهُ بِالْفَيْءِ كَفَّارَتُهُ فَإِنْ سَلَّمَ عَلَيْهِ فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيْهِ وَرَدَّ عَلَيْهِ سَلَامَهُ رَدَّتْ عَلَيْهِ الْمَلَائِكَةُ وَرَدَّ عَلَى الْآخَرِ الشَّيْطَانُ فَإِنْ مَاتَا عَلَى صُرَامِهِمَا لَمْ يَجْتَمِعَا فِي الْجَنَّةِ أَبَدًا Daripada Hisyam bin 'Amir berkata; saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Tidak halal bagi seorang muslim untuk memutuskan hubungan dengan saudara Muslim lebih dari tiga malam, jika mereka berdua saling mendiamkan lebih dari tiga hari tersebut, maka keduanya menyimpang dari kebenaran selama mereka berdua masih memutuskan hubungan. Jika salah seorang di antaranya kembali sedar dari rasa marah (menyambung kembali hubungan ukhuwah), maka tindakannya mendahului dalam berdamai menjadi penghapus kesalahannya. Jika dia (si 'A') memberi salam kepada saudaranya (si 'B') namun tidak menjawab, maka ucapan salamnya akan dijawab oleh Malaikat, sedangkan syaitan menjawab kepada pihak yang enggan berdamai. Jika mereka berdua meninggal dunia dalam keadaan masih memutuskan hubungan, maka mereka berdua tidak akan berhimpun bersama-sama di dalam syurga selama-lamanya. " (HR Ahmad No: 15823) Dar Ihya Turath Arabiy. Status: Hadis Sahih Pengajaran: 1. Seorang muslim tidak boleh memutuskan hubungan dengan saudara Muslimnya lebih dari tiga hari. Menurut Imam al-Nawawi, tempoh tiga hari adalah ruang masa untuk meredakan emosi seseorang. Lebih daripada itu dianggap berdosa kerana melanggar adab ukhuwah Islamiah. 2. Jika kedua-dua Muslim yang berselisih, saling mendiamkan diri dengan tidak bertegur sapa lebih dari tiga hari, keduanya akan jauh dari kebenaran (Rahmat) selama mereka berdua masih memutuskan hubungan. 3. Jika salah seorang di antaranya kembali sedar dan segera menyambung kembali hubungan ukhuwah, maka ia akan menjadi penebus dosanya kerana memutuskan. Ibn Hajar al-‘Asqalani menegaskan bahawa orang yang mula-mula memberi salam dan memulakan perdamaian akan mendapat kelebihan besar kerana ia dianggap sebagai penebus dosanya. 4. Orang yang memulakan perdamaian bukanlah orang yang kalah. Sebaliknya, dialah yang lebih kuat mengalahkan ego dan lebih hampir kepada kebenaran. 5. Jika seseorang memberi salam tetapi tidak dijawab, maka malaikat akan menjawab bagi pihaknya, sebagai bukti keredaan Allah kepadanya. Sebaliknya, syaitan akan memperkukuh permusuhan pada pihak yang enggan membalas salam. 6. Jika mereka berdua meninggal dunia dalam keadaan saling bermusuh, maka mereka berdua tidak akan berkumpul di syurga selama-lamanya. Para ulama menjelaskan, maksud “tidak berhimpun di syurga” bukanlah kekal selama-lamanya, tetapi sebagai ancaman keras bahawa permusuhan itu boleh menjadi sebab seseorang dihalang daripada nikmat syurga, kecuali dengan rahmat Allah. 7. Setiap Muslim mesti berusaha menjadi orang yang pertama memulakan perdamaian jika berlaku perselisihan antara mereka. Jauhi sifat ego, dendam dan keras hati kerana ia merosakkan agama dan merugikan kehidupan di akhirat. 8. Bersamalah kita saling menghubung ukhuwah dan menyemai sifat berkasih sayang sesama kita melalui bertegur sapa. Saling bertolong bantu dalam perkara yang disepakati dan saling bermaafan dalam perkara yang berbeza. Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2026 "Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati" #TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah #BinaNegaraRahmah #PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor #PalestinMerdeka 27hb Safar 1448H 11hb Ogos 2026 Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah : telegram.me/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS Mendamaikan Perselisihan عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِأَفْضَلَ مِنْ دَرَجَةِ الصِّيَامِ وَالصَّلَاةِ وَالصَّدَقَةِ قَالُوا بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ إِصْلَاحُ ذَاتِ الْبَيْنِ وَفَسَادُ ذَاتِ الْبَيْنِ الْحَالِقَةُ Daripada Abu Darda RA ia berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Mahukah jika aku khabarkan kepada kalian suatu yang lebih utama darjatnya daripada puasa, solat dan sedekah?" Para sahabat manjawab: "Sudah tentu ya Rasulullah." Baginda bersabda: "Mendamaikan hubungan orang yang sedang berselisih. Sesungguhnya kerosakan hubungan sesama manusia akibat berselisih adalah pencukur (mencukur amal kebaikan yang telah dikerjakan)." (Sunan Abu Daud No: 4273) Status: Hadis Hasan Pengajaran: 1. Ibadah Puasa, Solat dan Sedekah adalah antara amal ibadah yang utama dalam kehidupan Muslim yang biasa dilaksanakan. 2. Mendamaikan orang yang bersengketa (bermusuhan) atau dua kelompok yang bergaduh adalah lebih utama berbanding ibadat peribadi seperti puasa, solat dan sedekah. Kesolehan kepada Allah perlu berjalan seiring dengan kesungguhan menjaga hubungan sesama manusia. 3. Perselisihan atau pergaduhan antara dua orang atau dua kelompok boleh menjadi pengikis pahala yang mungkin dicetuskan dari penyakit hasad dengki dengan saling mengumpat, menghina dan merendah-rendahkan pihak yang satu lagi أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِيَّاكُمْ وَالْحَسَدَ فَإِنَّ الْحَسَدَ يَأْكُلُ الْحَسَنَاتِ كَمَا تَأْكُلُ النَّارُ الْحَطَبَ أَوْ قَالَ الْعُشْبَ Sesungguhnya Nabi SAW bersabda: "Jauhilah hasad (dengki), kerana hasad dapat memakan kebaikan seperti api memakan kayu bakar." (Sunan Abu Daud No:4257) 4. Memperbaiki hubungan antara dua pihak yang berselisih, bermusuhan atau putus hubungan merangkumi usaha: mendamaikan suami isteri; menyelesaikan pertelingkahan keluarga; mendamaikan dua sahabat; menyelesaikan perselisihan jiran; meredakan konflik dalam organisasi; mendamaikan kelompok masyarakat yang bertelagah. Allah SWT berfirman: إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ "Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu."(Surah al-Hujurat: 10) 5. Persengketaan yang berpanjangan boleh sedikit demi sedikit menghakis penghayatan agama seseorang. Dalam riwayat lain Rasulullah SAW menjelaskan: لَا أَقُولُ تَحْلِقُ الشَّعَرَ وَلَكِنْ تَحْلِقُ الدِّينَ "Aku tidak mengatakan bahawa ia mencukur rambut, tetapi ia mencukur agama." 6. Jangan biarkan perselisihan kecil berkembang menjadi permusuhan. Semakin lama konflik dibiarkan, semakin sukar hati untuk dipertemukan. 7. Manusia boleh berbeza pandangan; pendekatan; ijtihad; strategi juga keutamaan. Yang dilarang ialah apabila perbezaan tersebut berubah menjadi permusuhan, penghinaan, dendam, fitnah dan pemutusan ukhuwah. Perbezaan perlu diurus dengan sewajarnya agar ia tidak merosakkan ukhuwah. 8. Hidup berorganisasi, bermasyarakat dan bernegara memerlukan warganya saling bertolak ansur dan mengelakkan perselisihan yang membawa kepada pergaduhan. Bersikap ramah dan rahmah dengan berusaha mendamaikan dua saudara atau kelompok yang berselisih kerana ia adalah amal soleh yang utama. Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2026 "Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati" #TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah #BinaNegaraRahmah #PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor #PalestinMerdeka 26hb Safar 1448H 10hb Ogos 2026 Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah : telegram.me/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS Tiga Dosa Disegerakan Balasannya Didunia حَدَّثَنَا بَكَّارُ بْنُ عَبْدِ الْعَزِيزِ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ جَدِّهِ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ: كُلُّ ذُنُوبٍ يُؤَخِّرُ اللَّهُ مِنْهَا مَا شَاءَ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ، إِلاَّ الْبَغْيَ، وَعُقُوقَ الْوَالِدَيْنِ، أَوْ قَطِيعَةَ الرَّحِمِ، يُعَجِّلُ لِصَاحِبِهَا فِي الدُّنْيَا قَبْلَ الْمَوْتِ Daripada Bakkār bin ‘Abd al-‘Azīz, daripada bapanya, daripada datuknya, daripada Nabi SAW, baginda bersabda: " Setiap dosa akan dilewatkan oleh Allah hukumannya mengikut kehendak-Nya sehingga hari kiamat kecuali perbuatan zalim (melampaui batas), derhaka kepada kedua ibu bapa, dan memutuskan silaturahim. Sesungguhnya Allah akan segerakan hukuman ke atas pelakunya di dunia sebelum kematiannya." (HR Abu Daud No: 4902) Status: Hadis Sahih Pengajaran: 1. Menurut Ibn Hajar al-Asqalani, hadis ini menunjukkan bahawa Allah Maha Pengampun, dan banyak dosa manusia ditangguhkan balasannya hingga hari kiamat kecuali beberapa dosa berat yang tidak akan ditangguhkan malah akan disegerakan azab atau bala di dunia. 2. Tiga Dosa yang disegerakan balasannya semasa didunia i) الْبَغْي – Kezaliman termasuk menindas orang lain, mengambil hak tanpa izin dan menganiaya atau menyakiti orang lain ii) عُقُوق الْوَالِدَيْن – Derhaka kepada Ibu Bapa termasuk menyakiti, mengabaikan, tidak menghormati ibu bapa, bercakap kasar, meninggikan suara, enggan membantu, serta memalukan mereka iii) قَطِيعَة الرَّحِم – Memutuskan Silaturahim dengan keluarga 3. Dosa yang melibatkan hak manusia lain (seperti kezaliman, derhaka, dan memutuskan silaturahim) lebih berat kesannya, kerana ia merosakkan hubungan sosial dan kekeluargaan. 4. Kezaliman terhadap sesama manusia adalah antara dosa yang Allah sangat murka, dan boleh menyebabkan kehancuran hidup, kehilangan berkat, atau ditimpa bala secara langsung. 5. Hormat dan taat kepada ibu bapa adalah perintah Allah, dan kedurhakaan membawa kesan langsung dalam kehidupan, seperti rezeki disekat, hati tidak tenang, dan umur tidak diberkati. 6. Memelihara hubungan kekeluargaan membawa keberkatan umur dan rezeki, manakala memutuskannya membawa kesempitan hidup dan kemurkaan Allah. 7. Hadis ini memberi amaran dan juga peluang bahawa selama belum mati, masih ada ruang untuk bertaubat dan memperbaiki kesalahan. Tidak semua dosa menunggu hari pembalasan. Ada dosa yang dibalas segera di dunia, seperti hidup susah, tidak diberkati, dihina, tidak tenang, ditimpa bala dan sebagainya. Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2026 "Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati" #TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah #BinaNegaraRahmah #PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor #PalestinMerdeka 25hb Safar 1448H 09hb Ogos 2026 Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah : telegram.me/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS Akhlak Muslim عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَنَاجَشُوا وَلَا تَبَاغَضُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَلَا يَبِعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَيْعِ بَعْضٍ وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يَخْذُلُهُ وَلَا يَحْقِرُهُ التَّقْوَى هَاهُنَا وَيُشِيرُ إِلَى صَدْرِهِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ بِحَسْبِ امْرِئٍ مِنْ الشَّرِّ أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ دَمُهُ وَمَالُهُ وَعِرْضُهُ Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: 'Janganlah kalian saling mendengki, saling melakukan Najsh (sengaja menawarkan harga belian yang tinggi sedangkan dia tidak berniat membelinya dengan tujuan supaya orang lain merasakan barangan tersebut bernilai tinggi dan mereka akan membelinya dengan harga yang lebih mahal). Jangan saling membenci, dan jangan saling memusuhi. Janganlah ada seseorang di antara kalian yang berjual beli sesuatu yang masih dalam penawaran muslim lainnya dan jadilah kalian hamba-hamba Allah yang saling bersaudara. Muslim yang satu dengan muslim yang lainnya adalah bersaudara tidak boleh menzalimi, tidak boleh mengkhianati dan tidak merendahkan ataupun menghina. Takwa itu ada di sini (Rasulullah menunjuk dadanya), Baginda mengucapkannya sebanyak tiga kali. Seseorang telah dianggap berbuat jahat apabila ia menghina saudaranya sesama muslim. Setiap Muslim dengan yang Iain adalah haram darahnya. hartanya, dan kehormatannya (dicerobohi)." (HR Muslim No: 4650) Status: Hadis Sahih Pengajaran: 1. Islam melarang umatnya berakhlak buruk antaranya: a) Berdengki b) Najsh (menipu dalam jual beli atau manipulasi harga) c) Membenci d) Memusuhi atau memutuskan hubungan e) Membeli sesuatu yang telah dibeli atau dijanjikan kepada orang lain 2. Setiap Muslim adalah bersaudara. Seorang Muslim wajib menjaga hak saudaranya dengan tidak menzalimi, mengkhianati, menghina atau membiarkannya ketika memerlukan pertolongan. 3. Taqwa adalah asas akhlak yang baik, letaknya di dalam hati dan mesti dizahirkan melalui akhlak dan tindakan. 4. Menghina atau merendahkan orang lain merupakan dosa yang besar walaupun tanpa melakukan kekerasan fizikal. 5. Penghinaan boleh berlaku apabila seseorang meremeh, memperlekeh juga merendahkan orang lain sama ada dengan perkataan atau perbuatan termasuk kesalahan mereka. Penghinaan ini adalah bentuk sifat sombong dan bangga diri serta menganggap dirinya lebih mulia dari orang tesebut. 6. Nyawa, harta dan maruah setiap Muslim adalah amanah yang wajib dipelihara. Muslim sesama Muslim dilarang: a) Menumpahkan darah sesama Muslim b) Menzalimi hartanya c) Merendahkan kehormatannya 7. Dr. Yusuf al-Qaradawi menyatakan bahawa hadis ini merupakan piagam akhlak sosial Islam. Jika diamalkan, ia akan menghapuskan hasad; permusuhan; penindasan dan perpecahan serta akan melahirkan masyarakat yang saling mempercayai. 8. Dalam kita membina sebuah masyarakat dan negara yang harmoni, marilah kita memelihara hak saudara Muslim sebagai tanda kita menyayangi mereka. Jauhilah berakhlak buruk terhadap Muslim yang lain serta tidak menzaliminya. Ukhuwah Islamiah adalah asas kekuatan umat; ia runtuh jika hak persaudaraan diabaikan. Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2026 "Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati" #TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah #BinaNegaraRahmah #PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor #PalestinMerdeka 24hb Safar 1448H 08hb Ogos 2026 Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah : telegram.me/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS Saling Berkasih Sayang Dengan Menyebarkan Salam عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوا وَلَا تُؤْمِنُوا حَتَّى تَحَابُّوا أَوَلَا أَدُلُّكُمْ عَلَى شَيْءٍ إِذَا فَعَلْتُمُوهُ تَحَابَبْتُمْ أَفْشُوا السَّلَامَ بَيْنَكُمْ Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Kamu tidak akan masuk syurga hingga kamu beriman. Dan kamu tidak dikatakan benar-benar beriman sehingga kamu saling berkasih sayang. Mahukah aku tunjukkan kepada kamu suatu amalan yang apabila kamu melakukannya, nescaya kamu akan saling berkasih sayang? (iaitu) sebarkanlah (ucapkanlah) salam di antara kamu.” (HR Muslim No: 54) Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih Pengajaran: 1. Syurga hanya untuk orang yang beriman 2. Satu daripada syarat iman yang sempurna ialah saling menyayangi sesama Muslim. 3. Menurut Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim, syarat utama untuk masuk syurga ialah iman yang sempurna. Namun, iman itu tidak akan sempurna melainkan dengan adanya kasih sayang sesama Muslim. 4. Kasih sayang yang dimaksudkan bukan hanya perasaan di hati, tetapi dizahirkan dengan perbuatan seperti memberi salam, membantu, mendoakan, dan menjaga hak-hak persaudaraan. 5. Tuntutan menyebarkan salam apabila bertemu sesama Muslim sama ada orang yang kita kenal atau tidak. Daripada Abdullah bin Amr bin al-Ash RA berkata: أنَّ رجلًا سأَل النبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم : أيُّ الإسلامِ خيرٌ ؟ قال : تُطعِمُ الطعامَ، وتَقرَأُ السلامَ، على مَن عرَفتَ، وعلى مَن لم تَعرِفْ “Seorang lelaki telah bertanya Rasulullah SAW: Islam manakah yang paling baik? Nabi SAW bersabda: “Kamu memberi makan, mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenal”. [HR Muslim, no 56] 6. Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebut bahawa amalan memberi salam adalah kunci kepada perhubungan hati. Salam bukan sekadar ucapan, tetapi doa keselamatan dan kesejahteraan bagi saudaranya. 7. Menyebarkan salam ialah sunnah Rasulullah SAW yang menjadi kunci kepada pembinaan ukhuwah. 8. Ucapan Salam menumbuhkan rasa cinta, menghilangkan kebencian, mengeratkan silaturahim, dan memupuk suasana aman dalam masyarakat. 9. Setiap Muslim hendaklah menjadikan ucapan Assalamualaikum sebagai budaya harian yang diucapkan dengan ikhlas, kerana di sebalik lafaz yang ringkas itu terkandung doa, penghormatan, keamanan dan benih ukhuwah yang mampu menyatukan hati serta mengukuhkan perpaduan umat. Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2026 "Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati" #TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah #BinaNegaraRahmah #PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor #PalestinMerdeka 23hb Safar 1448H 07hb Ogos 2026 Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah : telegram.me/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS Berkasih Sayang Didunia Mendapat Naungan Di Padang Mahsyar عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ يَقُولُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَيْنَ الْمُتَحَابُّونَ بِجَلَالِي الْيَوْمَ أُظِلُّهُمْ فِي ظِلِّي يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلِّي Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah berfirman pada hari kiamat kelak: "Dimanakah orang-orang yang saling berkasih sayang kerana keagungan-Ku? Pada hari ini Aku akan naungi mereka di bawah naungan-Ku, pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Ku." (HR Muslim No: 4655) Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih Pengajaran: 1. Hadis Qudsi ini merupakan pengistiharan secara langsung daripada Allah akan kemuliaan orang yang saling mengasihi dan berkasih sayang antara sesama orang beriman. 2. Menurut Imam al-Nawawi, kasih sayang kerana Allah bermaksud seseorang mencintai saudaranya semata-mata kerana agama, iman dan ketaatan, bukan kerana dunia, harta, atau kepentingan lain. 3. Dua orang yang saling berkasih sayang kerana Allah akan tergolong dalam salah satu golongan yang akan mendapat naungan di hari Kiamat. Ibn Hajar al-‘Asqalani menjelaskan bahawa naungan Allah adalah satu bentuk perlindungan khusus daripada kepanasan dan kesusahan di Padang Mahsyar. 4. Ibnu Hajar rahimahullah berkata, dua orang yang saling menyayangi di jalan Allâh, di mana ia berpisah dan berkumpul kerana-Nya, iaitu apabila keduanya saling menyayangi kerana agama, bukan kerana yang lainnya. Menyayangi kerana agama ini tidak putus, baik dia berkumpul secara hakiki atau tidak, sampai kematian memisahkan keduanya. 5. Kasih sayang kerana Allah melahirkan pengorbanan. Apabila seseorang benar-benar mencintai kerana Allah, dia akan: mendoakan saudaranya; menziarahinya ketika sakit; membantu ketika susah; menutup aibnya; menasihatinya; memaafkan kesalahannya; dan bergembira dengan kejayaannya. 6. Seorang lelaki yang menyayangi lelaki lain kerana Allah begitu juga wanita yang menyayangi wanita lain kerana Allah, dianjurkan oleh Rasûlullâh SAW agar kita memberitahu kepadanya. Sebagaimana yang disebutkan dalam hadis dengan lafaz: إِنِّي أُحِبُّكَ فِي اللهِ Sesungguhnya aku menyayangimu kerana Allâh Kemudian balaslah ucapan tersebut dengan lafaz: أَحَبَّكَ الَّذِي أَحْبَبْتَنِي لَهُ Mudah-mudahan Allâh menyayangimu yang telah menyayangiku kerana-Nya. 7. Dalam mewujudkan masyarakat yang harmoni dan negara yang sejahtera, berusahalah kita memiliki seramai mungkin sahabat yang baik dengan mengasihi mereka. Moga kita tergolong dalam golongan yang mendapat naungan di hari akhirat nanti dengan saling menyayangi sahabat kita semata-mata kerana Allah. 8. Persahabatan yang dibina kerana Allah akan terus kekal di dunia, menjadi sebab memperoleh rahmat-Nya, dan akhirnya mendapat kemuliaan berada di bawah naungan Allah pada hari yang tiada sebarang naungan melainkan naungan-Nya. Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2026 "Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati" #TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah #BinaNegaraRahmah #PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor #PalestinMerdeka 22hb Safar 1448H 06hb Ogos 2026 Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah : telegram.me/hadisharian_ikram
Photo from Dr Ajmain
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS Kesempurnaan Iman Dengan Mengasihi Orang Lain عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ Daripada Anas RA dari Nabi SAW baginda bersabda: "Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri". (HR Bukhari No: 13) Status: Hadis Sahih Pengajaran: 1. Kesempurnaan iman bergantung kepada sejauh mana seseorang mengasihi saudaranya. Islam memerintahkan umatnya agar sentiasa memiliki sifat saling mengasihi sesama Muslim. 2. Jika kita suka diri kita mendapat nikmat dalam hal keagamaan, maka wajib baginya menyayangi saudara Muslim yang lain agar mendapat nikmat yang sama. Jangan sesekali kita memiliki sifat dengki dan khianat dengan nikmat yang dimiliki oleh saudara kita yang lain. 3. Ibn Hajar al-‘Asqalani menegaskan bahawa kasih sayang itu bermaksud menginginkan kebaikan dunia dan akhirat untuk saudaranya sama seperti dia inginkan untuk dirinya sendiri, bukan sekadar perkara duniawi. 4. Imam al-Ghazali menghuraikan bahawa apabila seseorang mukmin benar-benar mencintai saudaranya, dia tidak akan sanggup menzalimi, menipu, atau mengambil kesempatan atas kelemahan saudaranya. Sebaliknya, dia akan berusaha menjaga hak-hak saudaranya dan menggembirakannya. 5. Hadis ini mendidik umat Islam agar membuang sifat hasad dengki, sentiasa mendoakan kebaikan sesama Muslim, tidak iri hati terhadap kejayaan orang lain serta tidak suka melihat orang lain gagal. 6. Ambillah iktibar kisah Aus dan Khazraj di Madinah yang mana kedua-dua kaum ini begitu taksub dan fanatik dengan kaum masing-masing namun Allah telah satukan hati mereka dengan kasih sayang dan mereka saling mencintai antara satu sama lain apabila menerima Islam. Mereka bersatu atas nama Islam dan mereka berjuang atas nama Islam. 7. Ingatlah bahawa setiap mukmin ini bersaudara. Firman Allah: إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ “Sesungguhnya orang-orang beriman itu adalah bersaudara. Oleh itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah supaya kamu mendapat rahmat” (al-Hujurat: 10) 8. Saudara kita seagama adalah tanggungjawab kita untuk membantu jika mereka memerlukan bantuan, memberi nasihat ketika mereka memerlukan nasihat, meminjamkan telinga kita untuk mendengar masalah dan kisah mereka, memberi sokongan dan dorongan kepada mereka dan akhir sekali jangan kita lupa untuk mendoakan kepada mereka kerana doa adalah senjata terbaik apatah lagi doa yang tidak diketahui oleh saudaranya sendiri. Marilah kita memperbaharui semangat perpaduan dan kebersamaan dengan saling mengasihi dan menyayangi orang lain. Semoga sifat tersebut mengukuhkan jati diri kita dalam bekerjasama mewujudkan Negara Yang Utuh Teguh dan mendapat keredhaan Allah. Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2026 "Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati" #TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah #BinaNegaraRahmah #PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor #PalestinMerdeka 21hb Safar 1448H 05hb Ogos 2026 Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah : telegram.me/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS Sayangi Manusia Lain عَنْ جَرِيرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَرْحَمُ اللَّهُ مَنْ لَا يَرْحَمُ النَّاسَ Daripada Jarir bin Abdullah RA berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Allah tidak akan merahmati (menyayangi) sesiapa yang tidak merahmati (belas kasihan) kepada manusia." (HR Bukhari No: 6828) Status: Hadis Sahih Pengajaran: 1. Sifat rahmah - saling mengasihi dan menyayangi sesama manusia adalah suatu keperluan dalam mewujudkan kehidupan yang rahmah dan berkasih sayang. Mengasihi manusia ialah antara sebab memperoleh rahmat Allah SWT. 2. Ibn Hajar al-‘Asqalani menjelaskan bahawa maksud hadis ini ialah sesiapa yang tidak menzahirkan sifat rahmah (kasih sayang, belas ihsan, simpati, tolong-menolong) terhadap orang lain, maka Allah tidak akan melimpahkan rahmat-Nya kepadanya. 3. Imam al-Nawawi menyebut bahawa sifat Rahmah dalam hadis ini bersifat umum iaitu meliputi rahmat kepada semua manusia, sama ada Muslim atau bukan Muslim, kanak-kanak, orang tua, fakir miskin, hamba, atau sesiapa sahaja. 4. Kasih sayang hendaklah diterjemahkan melalui bantuan, layanan baik dan perlindungan. 5. Menyayangi sesama manusia dengan cara menunaikan tanggungjawab yang menjadi hak orang lain yang berada di sekeliling antaranya seperti sabda Rasulullah SAW: حَقُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ سِتٌّ قِيلَ مَا هُنَّ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ إِذَا لَقِيتَهُ فَسَلِّمْ عَلَيْهِ وَإِذَا دَعَاكَ فَأَجِبْهُ وَإِذَا اسْتَنْصَحَكَ فَانْصَحْ لَهُ وَإِذَا عَطَسَ فَحَمِدَ اللَّهَ فَسَمِّتْهُ وَإِذَا مَرِضَ فَعُدْهُ وَإِذَا مَاتَ فَاتَّبِعْهُ Hak seorang muslim terhadap muslim yang lain itu ada enam: (iaitu) apabila engkau bertemu dengannya, ucapkanlah salam, apabila dia mengundangmu, penuhilah undangannya, apabila dia meminta nasihat kepadamu, nasihatilah dia, apabila dia bersin lalu mengucapkan Alhamdulillah, doakan dia (dengan mengucapkan Yarhamukallah), apabila dia sakit, jenguklah dia, dan apabila dia meninggal, iringilah jenazahnya.” (HR. Muslim 4023) Status: Hadis Sahih 6. Kasih sayang sesama manusia akan melahirkan masyarakat yang harmoni dan terhindar daripada penindasan. 7. Jauhilah sifat benci, dengki, sakit hati sesama kita juga kaum dan bangsa lain. Menjaga lidah daripada menghina, mengumpat dan menyakiti juga merupakan sebahagian daripada rahmah. Jadikanlah perbezaan bangsa untuk kita saling berkenal mesra dan menyebarkan kebaikan agar kita menjadi qudwah kepada mereka. 8. Sesiapa yang tidak menyayangi orang lain, Allah tidak akan menyayanginya. Sayangilah orang lain dengan sikap prihatin terhadap orang yang berada di sekeliling tanpa mengira Muslim mahupun non Muslim juga kedudukan mereka, agar kita sentiasa disayangi. Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2026 "Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati" #TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah #BinaNegaraRahmah #PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor #PalestinMerdeka 20hb Safar 1448H 04hb Ogos 2026 Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah : telegram.me/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS Jadilah Warganegara Bermanfaat عَنِ ابْنِ عُمَرَ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : "أَحَبُّ النَّاسِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ وَأَحَبُّ الأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى سُرُورٌ تُدْخِلُهُ عَلَى مُسْلِمٍ , أَوْ تَكَشِفُ عَنْهُ كُرْبَةً , أَوْ تَقْضِي عَنْهُ دَيْنًا , أَوْ تَطْرُدُ عَنْهُ جُوعًا , وَلأَنْ أَمْشِيَ مَعَ أَخِ فِي حَاجَةٍ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ أَنْ أَعْتَكِفَ فِي هَذَا الْمَسْجِدِ يَعْنِي مَسْجِدَ الْمَدِينَةِ شَهْرًا Daripada Ibnu ‘Umar RA, Rasulullah SAW bersabda, “Manusia yang paling dicintai oleh Allah ialah yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia. Adapun amalan yang paling dicintai oleh Allah ialah membuat muslim yang lain bahagia, meringankan kesusahan orang lain, atau membantu melangsaikan hutangnya atau menghilangkan kelaparannya. Seandainya aku berjalan bersama saudaraku untuk memenuhi suatu keperluannya, maka hal itu lebih aku sukai daripada aku beriktikaf sebulan penuh di masjid ini iaitu masjid Nabawi di Madinah (HR Tobarani dalam Al Mu’jam Al Kabir no. 13280, 12: 453. Status hadis hasan dalam Sahih Al Jaami’ no. 176). Pengajaran: 1. Orang yang paling dicintai Allah ialah mereka yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia. Sebagai anggota masyarakat dalam sebuah negara, berusahalah menjadi orang yang paling bermanfaat. 2. Hidup bermasyarakat menuntut setiap kita cakna terhadap orang di sekeliling. Amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah membuat orang lain bahagia antaranya dengan cara meringankan kesusahan seseorang, membantu melangsaikan hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya. 3. Menggembirakan hati orang lain ialah amalan yang sangat mulia di sisi Allah. Justeru setiap Muslim hendaklah peka terhadap kesusahan orang lain dan tidak bersikap mementingkan diri. 4. Realiti hidup pada masa kini ada yang terkesan dengan pelbagai masalah antaranya kemiskinan, penyakit, masalah pekerjaan juga keluarga. Orang yang prihatin akan sentiasa menghulurkan bantuan bagi memenuhi keperluan serta meringankan kesusahan orang lain. 5. Rasulullah SAW menegaskan bahawa, ia berjalan untuk membantu memenuhi keperluan seorang saudara Muslim lebih Baginda sukai daripada beriktikaf di Masjid Nabawi selama sebulan, yang menunjukkan betapa tingginya nilai khidmat kepada manusia apabila dilakukan dengan ikhlas kerana Allah. 6. Hadis ini menjadi asas penting dalam pembinaan masyarakat yang berteraskan rahmah, ukhuwah, kebajikan dan tanggungjawab sosial, selaras dengan maqasid syariah yang bertujuan memelihara kemaslahatan manusia di dunia dan akhirat. 7. Marilah kita menjadi orang yang bermanfaat dengan sentiasa berusaha mewujudkan masyarakat dan negara yang bersatu padu dan diredhai Allah. Berusahalah kita menjadi orang yang bermanfaat kepada orang lain. Keberadaan kita dalam organisasi, masyarakat dan negara amat dirasai manfaat kebaikannya. Ketiadaan kita pula akan ditangisi. Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2026 "Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati" #TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah #BinaNegaraRahmah #PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor #PalestinMerdeka 19hb Safar 1448H 03hb Ogos 2026 Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah : telegram.me/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS Rahmah Kepada Semua عَنْ أَبِي مُوسَى الأَشْعَرِيِّ أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: لَنْ تُؤْمِنُوا حَتَّى تَرَاحَمُوا. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ كُلُّنَا رَحِيمٌ. قَالَ: إِنَّهُ لَيْسَ بِرَحْمَةِ أَحَدِكُمْ صَاحِبَهُ وَلَكِنَّهَا رَحْمَةُ النَّاسِ رَحْمَةُ الْعَامَّةِ Daripada Abu Musa Al-Asy’ari RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Kamu tidak akan mencapai kesempurnaan iman sehingga kamu berkasih sayang (bersifat Rahmah). Para Sahabat berkata: Wahai Rasulullah, bukankah kami semua telah berkasih sayang. Baginda bersabda: “Bukanlah yang dimaksudkan itu kasih sayang seseorang kamu terhadap sahabatnya sahaja, tetapi kasih sayang terhadap seluruh manusia, iaitu kasih sayang yang bersifat umum (kepada seluruh makhluk)” (Riwayat al-Haythami dalam Majma’ al-Zawaid 8/189, al-Hakim dalam al-Mustadrak 7418 dan dinilai Hasan Lighairihi dalam Sahih al-Targhib wa al-Tarhib no. 2253) Pengajaran: 1. Islam adalah agama rahmah. Rahmah bermaksud lembut hati terhadap seseorang, memberi kasih sayang, belas ihsan, santun dan simpati (al-Mu’jam al’Arabiy al-Asasiy, 1989) 2. Memiliki sifat rahmah dengan berkasih sayang sesama Muslim adalah tanda kesempurnaan iman seseorang. 3. Sifat rahmah berkasih sayang bukan hanya sesama Muslim malah juga kepada seluruh manusia termasuk yang bukan Islam serta makhluk alam yang lain seperti binatang dan tumbuhan. 4. Kasih sayang hendaklah dizahirkan melalui tindakan seperti menghulurkan bantuan, memaafkan, memberi nasihat, mendoakan, mengelakkan perbuatan yang menyakiti, menganiaya atau menzalimi orang lain serta menghilangkan kesusahan orang. 5. Proses ummah dijelmakan dalam peradaban Islam dari sudut kesatuan masyarakat manusia. Al-Quran mengarahkan untuk kita melakukan engagement dengan pelbagai kaum dan bangsa. Firman Allah: يَٰأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ “Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari (sepasang manusia) lelaki dan perempuan, dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenali.” (al-Hujurat: 13) 6. Memiliki sifat rahmah kepada manusia termasuk bukan Islam dalam masyarakat majmuk di Malaysia adalah dituntut. Ia dilakukan dengan saling mengenali serta berusaha melakukan usaha dakwah melalui pelbagai pendekatan termasuk menunjukkan contoh terpuji serta bersifat rahmah terhadap orang lain. 7. Sifat berkasih sayang adalah fitrah yang dianugerahkan oleh Allah kepada semua makhluk yang bernyawa. Bukan hanya kepada manusia tetapi juga kepada binatang. Naluri kasih sayang adalah sifat manusia seperti kasih kepada orang tua, kanak-kanak, golongan yang lemah, yang dikenali juga yang tidak dikenali. 8. Suburkanlah sifat rahmah dengan saling sayang menyayangi bukan hanya sesama Muslim malah berlaku rahmah kepada bukan Islam dalam usaha menyebarkan dakwah. Semoga sifat rahmah yang kita tunjukkan akan menjadi penyebab mereka cenderung kepada Islam. 9. Allah menyayangi orang yang menyayangi sesama makhluk. Rasulullah SAW bersabda: إِنَّمَا يَرْحَمُ اللَّهُ مِنْ عِبَادِهِ الرُّحَمَاءَ “Sesungguhnya Allah hanya akan menyayangi hamba yang menyayangi (makhluk-Nya)”. (HR At-Thobrani dalam al-Mu’jam al-Kabiir Status Hadis Hasan dalam sahih Al-Jaami’ no 2377) Bersifat rahmah kepada orang lain termasuk kawan dan lawan dengan engagement yang berterusan agar kita sentiasa teguh bersama membina negara tercinta. Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2026 "Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati" #TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah #PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor #PalestinMerdeka 18hb Safar 1448H 02hb Ogos 2026 Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah : telegram.me/hadisharian_ikram
Photo from Dr Ajmain
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS Jadilah Warganegara Terbaik عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَفَ عَلَى أُنَاسٍ جُلُوسٍ فَقَالَ أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِخَيْرِكُمْ مِنْ شَرِّكُمْ قَالَ فَسَكَتُوا فَقَالَ ذَلِكَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ فَقَالَ رَجُلٌ بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ أَخْبِرْنَا بِخَيْرِنَا مِنْ شَرِّنَا قَالَ : " خَيْرُكُمْ مَنْ يُرْجَى خَيْرُهُ وَيُؤْمَنُ شَرُّهُ وَشَرُّكُمْ مَنْ لَا يُرْجَى خَيْرُهُ وَلَا يُؤْمَنُ شَرُّهُ Daripada Abu Hurarirah RA berkata, “Nabi SAW melewati sekelompok orang yang sedang duduk. Baginda SAW bersabda, “Mahukah aku beritahu kalian, orang yang terbaik dan orang yang terburuk dalam kalangan kalian?” Mereka pun terdiam. Rasulullah SAW mengulangi pertanyaan tersebut sebanyak tiga kali. Kemudian seorang lelaki pun menjawab, “ya, wahai Rasulullah! Beritahu kepada kami siapakah orang yang terbaik dan siapakah yang terburuk dalam kalangan kami.” Rasulullah SAW kemudian bersabda,“Manusia terbaik di antara kalian adalah yang diharapkan kebaikannya dan orang lain merasa aman daripada kejahatannya. Manusia terburuk di antara kalian adalah orang yang tidak diharapkan kebaikannya dan orang lain tidak merasa aman daripada kejahatannya.” (Sunan Tirmidzi no. 2263) Status: Sahih dalam Shahih Al-Jami’ no. 2603. Pengajaran: 1. Islam mengukur kemuliaan seseorang melalui kebaikan yang dibawanya. 2. Imam al-Munawi menjelaskan: "Seseorang mukmin yang sempurna ialah orang yang manusia sentiasa mengharapkan manfaat kebaikan daripadanya sama ada melalui ilmu, harta, nasihat, doa ataupun akhlaknya." 3. Manusia yang terbaik adalah yang sentiasa mendatangkan kebaikan dan membawa manfaat kepada orang lain dan orang lain merasa aman dari gangguan dan kejahatannya. 4. Manusia terburuk adalah yang tidak mendatangkan kebaikan kepada orang lain malah orang lain merasa tidak aman dari gangguan dan kejahatannya. 5. Jadikanlah kehadiran kita ditengah-tengah masyarakat sebagai orang yang bermanfaat dan dirasai kebaikan oleh orang lain. Rasulullah SAW bersabda: خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ Sebaik-baik manusia adalah orang paling bermanfaat bagi orang lain. (HR Ibn Hibban No: 2/48) 6. Orang yang paling dicintai Allah adalah orang yang paling bermanfaat pada orang lain. Sabda Rasulullah SAW: أحَبُّ النَّاسِ إلى اللهِ أنفَعُهم للنَّاسِ Orang paling dicintai Allah adalah orang yang paling bermanfaat bagi orang lain. (Riwayat at-Tabarani) Al-Mu’jam Al-Ausot, no.hadis dan juzu’ : 6/139 7. Menurut Imam Nawawi: "Seorang mukmin hendaklah menjadi sebab datangnya manfaat kepada manusia serta menjauhkan mereka daripada sebarang kemudaratan." 8. Hadis ini mengingatkan bahawa nilai seseorang bukan diukur pada gelaran, pangkat atau kekayaan, tetapi pada sejauh mana kehadirannya membawa kebaikan, rahmat dan kesejahteraan kepada orang lain. Marilah kita berusaha untuk menjadi warganegara yang membawa kebaikan dan jauh dari menjadi musibah dan mudarat kepada masyarakat dan negara. Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2026 "Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati" #TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah #BinaNegaraRahmah #PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor #PalestinMerdeka 17hb Safar 1448H 01hb Ogos 2026 Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah : telegram.me/hadisharian_ikram
Photo from Dr Ajmain
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS Berdusta Untuk Menjadikan Orang Tertawa عَنْ معاوية بن حيدة القشيري قَالَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ وَيْلٌ لِلَّذِي يُحَدِّثُ فَيَكْذِبُ لِيُضْحِكَ بِهِ الْقَوْمَ وَيْلٌ لَهُ وَيْلٌ لَهُ Daripada Mu‘awiyah bin Haydah al-Qusyairi RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Celakalah orang yang berbicara kemudian dia berdusta agar suatu kaum tertawa kerananya. Kecelakaan untuknya. Kecelakaan untuknya.” ( No: 4990) Maktabah Asriyyah. Status: Hadis Hasan Pengajaran: 1. Elakkan gurauan yang di dalamnya ada unsur berdusta, mengumpat, menghina juga meremehkan orang lain hanya kerana ingin menghiburkan orang atau menyebabkan orang tertawa. 2. Gurauan bukan kawasan yang bebas daripada hukum halal dan haram. Lidah seorang Muslim tetap terikat dengan amanah kebenaran dalam keadaan serius ataupun santai. 3. Celakalah orang yang menyampaikan sesuatu kepada orang lain yang didalamnya mengandungi pembohongan, penghinaan juga meremehkan orang lain sehingga menyebabkan orang tertawa, sama ada melalui pertuturan, lakonan, lukisan, gambar juga tulisan. 4. Dalam syarah Tuhfat al-Ahwadhi, ungkapan “وَيْلٌ - Celaka @ Binasa” diulang bertujuan menegaskan beratnya kesalahan tersebut. Dusta ialah antara punca pelbagai keburukan dan boleh menjadi pintu kepada dosa-dosa yang lain. 5. Dusta dalam bentuk hiburan hingga membuat orang ketawa diberi ancaman keras kerana ia merosakkan sifat jujur. Dalam era digital, satu cerita palsu boleh dikongsi ribuan kali dan terus beredar walaupun penciptanya sudah menarik balik kenyataannya. 6. Antara bentuk dusta untuk hiburan pada masa kini yang perlu dijauhi seperti menyebarkan berita palsu untuk mendapat perhatian, “prank” berasaskan penipuan, mereka cerita palsu, petikan palsu, suntingan mengelirukan kepada video atau audio, akaun palsu dan penyamaran. 7. Orang yang beriman tidak akan berbicara serta melakukan sesuatu melainkan yang benar dan baik. Jadilah kita Mukmin yang benar lagi baik dalam perbuatan dan pertuturan. #TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah #BinaNegaraRahmah #PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor #PalestinMerdeka 16hb Safar 1448H 31hb Julai 2026 Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah : telegram.me/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS Bergurau Yang Dibenarkan عَنِ الْحَسَنِ قَالَ: أَتَتْ عَجُوزٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، ادْعُ اللَّهَ أَنْ يُدْخِلَنِي الْجَنَّةَ فَقَالَ: يَا أُمَّ فُلاَنٍ، إِنَّ الْجَنَّةَ لاَ تَدْخُلُهَا عَجُوزٌ. قَالَ: فَوَلَّتْ تَبْكِي فَقَالَ: أَخْبِرُوهَا أَنَّهَا لاَ تَدْخُلُهَا وَهِيَ عَجُوزٌ إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَقُولُ : إِنَّا أَنْشَأْنَاهُنَّ إِنْشَاءً فَجَعَلْنَاهُنَّ أَبْكَارًا عُرُبًا أَتْرَابًا (الواقعة آية رقم : 35 – 37) Daripada Al-Hasan RA, dia berkata, “Seorang wanita tua datang menemui Nabi SAW lalu berkata, ‘Wahai Rasulullah! Berdoalah kepada Allah agar Dia memasukkan aku ke dalam syurga!’ Baginda bersabda: ‘Wahai Ibu si Polan! Sesungguhnya Wanita tua tidak akan memasuki syurga. Wanita itu pun berpaling sambil menangis. Baginda pun bersabda: ‘Beritahulah kepadanya bahawa dia tidak akan masuk syurga dalam keadaan tua. Sesungguhnya Allah berfirman: Sesungguhnya kami menciptakan mereka (Bidadari-bidadari) dengan langsung (35). Dan kami jadikan mereka gadis-gadis perawan (36). Penuh cinta lagi sebaya umurnya (37).” (Al-Waqi’ah) (HR Tirmizi No: 238 dalam Syamail Muhammadiyyah) Status: Hadis Hasan. Pengajaran: 1. Rasulullah SAW bergurau dengan sahabat untuk mengembirakan, namun dalam batas yang tidak berlebihan hingga membawa sifat berbohong. 2. Rasulullah SAW bergurau dengan perempuan tua, walaupun pada awalnya menyedihkan namun diakhirnya mengembirakan dan menyebabkan perempuan itu tersenyum dan tertawa gembira. 3. Orang yang terlalu serius dalam urusan kehidupannya akan cepat penat dan kecewa. 4. Gurauan boleh merehatkan jiwa dan mengeratkan hubungan, tetapi mesti dijaga batasnya jangan mengandungi dusta, menghina seseorang, menyakiti perasaan, melalaikan serta menjatuhkan maruah dan kewibawaan. 5. Kita boleh bergurau dengan kadar yang tidak berlebihan serta berusaha mengawal lidahnya ketika bergurau agar bertutur dalam perkara yang bermanfaat dan menjauhi dusta. 6. Gurauan yang baik hendaklah memenuhi beberapa prinsip seperti tidak berdusta, tidak menghina, tidak membuka aib, tidak menakutkan, tidak mempermainkan agama, tidak keterlaluan dan menjaga emosi pendengar agar tidak menyakiti. 7. Elakkan bergurau yang tidak benar atau berbohong sekadar untuk bersuka-suka. Bergurau dibolehkan untuk menimbulkan kemesraan dan membina ikatan ukhuwah. 8. Islam tidak menolak kegembiraan dan gurauan. Namun, gurauan mestilah berasaskan kebenaran, tidak mengaibkan, tidak menyakitkan dan tidak dibiarkan menimbulkan salah faham. Apabila seseorang tersentuh atau bersedih, penjelasan dan pemulihan perasaannya perlu disegerakan. #TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah #BinaNegaraRahmah #PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor #PalestinMerdeka 15hb Safar 1448H 30hb Julai 2026 Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah : telegram.me/hadisharian_ikram