Ustaz Syamil Esa
СтатистикаPerkongsian beberapa makna kehidupan dan pengalaman dalam mendalami erti fikrah, tarbiah dan harakah. @syamilesa
- Последний пост
- 6 авг.
- Последнее чтение
- 14 авг.
- Постов за неделю
- 0
- Всего постов
- 20
- Тип
- открытый
- Язык
- индонезийский
- Категория
- Религия (по похожим)
- В каталоге с
- 13 авг.
- 1/24сутки в ленте
- 373
- 1/48двое суток
- 427
- 1/72трое суток
- 461
Оценка по просмотрам недавних постов: пост набирает почти всё за первые сутки.
Посты
Memasuki alam Al-Quran Podkas tanpa tapisan, saya hanya menjawab soalan dari hati dan perjalanan hidup sendiri, secara peribadi. Sedikit sebanyak memberikan gambaran terhadap apa yang terbuku di hati, serta bayangan umum terhadap apa yang saya yakini, mengenai hidup di alam Al-Quran, tadabbur, refleksi jiwa, perihal kerohanian dan perjalanan menuju Tuhan. https://youtu.be/LnOEr8MbG3E?si=LH9766L6iHkUljSk Semoga bermanfaat.
Ingat lima perkara, sebelum lima perkara, seruan membina suatu tabiat Terlintas di surau tadi satu poster hadis Nabi SAW yang masyhur yang berbunyi maksudnya : "Rebutlah lima sebelum lima. Waktu mudamu sebelum tua. Waktu sihatmu sebelum sakit. Waktu kayamu sebelum fakir. Waktu lapangmu sebelum sibuk. Waktu hidupmu sebelum mati" - HR Baihaqi Saya melihat seruan ini bukan sekadar mengambil peluang beribadah atau seumpamanya ketika sempat. Ia lebih mendalam dari itu. Hakikatnya dalam pertimbangan dan neraca syarak, tabiat yang dilakukan seseorang ketika senang, sihat, lapang dan seumpamanya, apabila kelapangannya itu hilang, tabiat itu akan tetap berterusan pahalanya walau keadaan lain menimpa, samada sakit, sibuk, miskin dan seumpamanya. Seruan Nabi SAW utk rebut adalah untuk membina sebanyak mungkin landasan 'default' ketika mampu, lalu landasan itu akan terus menerus menjdi dasar pandangan Tuhan pada kita, walau apa jua keadaan dan keuzuran menimpa kita. Justeru seruan itu difahami bukan untuk sentiasa jadi sihat, lapangkan diri, atau cukupkan duit. Hakikatnya ia adalah seruan untuk mengekalkan pahala dalam pelaburan akhirat, dalam apa jua keadaan sekalipun. Bukankah sesiapa yang melazimi solat jemaah, tetap akan mendapat pahala jemaah jika ia sakit dan uzur? Bukankah sesiapa yang berniat untuk berjihad, tetapi atas keuzuran ia tidak dapat berjihad, tetap akan dapat pahala berjihad? Bukankah siapa yang biasa bersedekah, lalu ia ditimpa kemiskinan dan kesukaran, pahala sedekah itu tetap akan dikira, kerana kelazimannya adalah bersedekah? Jadi semua perkiraan 'merebut' itu adalah bermaksud, binalah satu 'kelaziman' dan 'tabiat' atau 'habit' tertentu yang mulia, ketika kamu berkesempatan untuk lakukannya. Kelak ketika kamu berkeuzuran, 'kelaziman' itu akan tetap dikira pahalanya di sisi Allah SWT. Benar, Nabi SAW melihat suatu perkara dengan penilaian hakikat, iaitu apa yang benar-benar bernilai, di timbangan akhirat. Wallahua'lam bissawaab.
Wallahua'lam bissawaab.
Berdamai dengan masa lalu, akan membuahkan damai pada masa depan. Walaupun masa lalu adalah gelap dan menyakitkan, berdamai dengannya tidaklah bererti mengiyakan sebarang perlakuan salah mana-mana pihak yang pernah menzalimi diri kita samada sengaja atau tidak. Ia adalah proses kematangan, daripada melihat sesuatu insiden kerana perbuatan-perbuatan manusia, kepada melihat sesuatu insiden sebagai 'keizinan Tuhan' terhadap 'berlakunya' ia. Jika kita melihat dengan perspektif manusia yang merancang, mengatur, menyebabkan, lalu kita tersungkur, tersadung dan terjatuh, maka segala insiden masa lalu akan menjadi sangat 'personal'. 'Semuanya nak kenakan aku'. 'Semuanya aku yang salah'. 'Semuanya salah si fulan dan si fulan'. Sebutlah apa pun. Senarai itu tidak akan berhenti. Dan semuanya, jika kita mahu, kita boleh buktikan, dan kita mampu nyatakan. Benar, kita pasti akan mengingati segala wajah-wajah mereka yang terlibat, perincian satu per satu akan ditulis dan direkodkan sebagai catatan sejarah hitam, dengan naratif yang memihak kepada kita, untuk keperluan di kemudian hari. Dari situ akan terhasil dendam, benci, dan berburuk sangka yang tidak berkesudahan. Setelah itu, walaupun kita sudah melalui hari-hari yang gelap itu, dan kita sudah pun mungkin sampai ke hari-hari yang indah, perspektif melihat perbuatan manusia sebagai faktor utama kegelapan masa lalu akan tetap menghantui kita pada masa akan datang. Apabila timbulnya masalah lain pula setelah itu, perspektif itu akan terus menghantui dan menghasut kita, bahawa segala masalah bermula daripada si fulan, si fulan dan si fulan. Namanya mungkin berbeza, tapi corak analisisnya lebih kurang sama. Benar, perspektif yang begitu 'personal' itu akan kekal, walaupun manusia dalam cerita itu berubah. Kerangka dan perspektif jiwa yang kekal, tetap menghasilkan natijah yang sama. Walau pada peringkat usia apa pun kita berada. Jadi apakah maksudnya berdamai dengan masa lalu? Berdamai dengan masa lalu, bererti meleburkan diri dalam ketentuan takdir Tuhan. Ia bererti, menghilangkan segala nama, muka, insiden, daripada menjadi rekod buruk, senarai hitam, hinggalah kesemuanya dileburkan dalam satu kertas putih, tiada sebarang warna dan kesan, yang dinamakan 'takdir' dan 'tadbir' Tuhan. Ia bererti menghilangkan keakuan, keegoan, rasa tahu, rasa hebat, rasa berjasa, rasa berkorban, dan rasa mulia, berbanding apa yang sudah ditetapkan sejak azali. Ia bererti, tidak mempertikaikan segala yang telah berlaku, bukan kerana ia betul atau salah, syarie atau tidak syarie, tetapi kerana ia telah diizinkan Tuhan untuk berlaku. Ia bererti meyakini Tuhan sedang menyusun sesuatu yang lebih sempurna, lebih indah, lebih mendasar, daripada apa yang kita fikir, rasa, yakini dan apa yang kita usahakan selama ini. Ia bererti mengakui bahawa segala kegelapan silam dan kesedihan lalu, adalah sebuah harga yang perlu dibayar bagi sebuah keunggulan pada masa akan datang. Ia juga mengakui bahawa, segala kesakitan dan kerugian lalu, tiada siapa yang boleh menolak ianya berlaku, bahkan apabila ia sudah pun berlaku, pasti ia adalah sebuah aturan indah dalam lukisan Tuhan terhadap perjalanan suatu ketentuan. Ketika ini, apabila unsur 'diri' sudah lebur, hilanglah segala dendam, perasaan-perasaan buruk, kerana diri sudah berada di bawah aturan kehendak dan tadbir Tuhan. Keberadaan ini, adalah syurga bagi orang beriman. Keberadaan ini, adalah seruan Tuhan kepada Nabi apabila dihina dan diejek : "Sesungguhnya Kami tahu hatimu sangat sedih dengan apa yang mereka katakan. Maka bertasbihlah memuji Tuhanmu, dan jadilah daripada orang yang sujud. Dan sembahlah Tuhanmu, hingga sampainya keyakinan itu" - Surah Al-Hijr, ayat 97-99 Ya, keyakinan itu adalah peleburan diri. Ahli tafsir menyatakan ia adalah kematian. Adapun ahli isyarat memahami bahawa, ia juga adalah 'perpindahan rohani' : Dari alam syahadah, ke alam malakut. Dari alam zahir, ke alam batin. Dari alam bersama makhluk, ke alam bersama al-Khaliq. Ketika itu, masihkah ada ruang lagi, untuk mempertikai keindahan susunan takdir ini?
Seni berdiam diri lebih susah dari seni berkata-kata Ketika umur meningkat remaja, kebiasaan pelajar atau anak-anak ingin belajar seni dan skil untuk melakukan pengucapan awam. Mereka dilatih berani untuk berpidato, berdebat, menyusun idea, mencari-cari 'punchline' yang mantap agar audiens terpukau dan terpana sekaligus mengiyakan poin yang diutarakan. Saya juga antara yang pernah melalui pengalaman ini, seperti kebanyakan dan kebiasaan orang lain. Meningkat umur dan pengalaman, saya kini sedar bahawa seni berdiam diri adalah lebih sukar dan lebih bernilai, daripada seni mahu melontarkan pandangan, kata-kata, teguran dan seumpamanya. Seni berdiam diri, ketika berlakunya konflik, adakalanya, dan kebiasaannya, lebih ampuh, lebih mendalam, dan lebih mendasar serta mencapai maksud. Diam akan memulangkan semula kata-kata kesat kepada pelakunya. Dia akan bertugas sebagai cerminan kepada penuduh-penuduh yang menuduhnya tanpa asas dan bukti. Diam juga akan menjadikan manusia akan berfikir sendiri, melakukan muhasabah secara organik, dan akan menyuburkan suasana tidak tergesa-gesa membuat kesimpulan atau keputusan sesuatu masalah. Diam, hakikatnya lebih sukar kerana ia memerlukan kesabaran, ketenangan, nafas panjang dan kebijaksanaan. Ia memerlukan ketahanan jiwa untuk menahan sebarang perkataan yang boleh merosakkan hubungan, keadaan, atau hanya menambah marak api yang sedang membakar. Walaupun perkataan itu mungkin benar, baik, jujur, ilmiah, tetapi perkiraan yang lebih besar bukanlah apa yang disebut, bukanlah juga siapa yang lebih petah, lebih sedap perkataannya, dan lebih tepat penilaiannya. Perkiraan diam berkisar pengakhiran sesuatu plot dan peristiwa, siapa yang untung, siap yang rugi, akhirnya. Diam, akan merawat permasalahan secara rapi, tanpa perlu menggores hati mana-mana pihak, dan tidak menimbulkan mana-mana 'letusan' yang tidak perlu, yang mana pada penghujungnya ia akan mencipta 'noktah hitam' terhadap pelakunya di kemudian hari, lalu menatijahkan malu sendiri terhadap perilakunya yang tidak dapat mengawal diri, terhadap orang yang dikasihi, atau mengasihinya seperti saudara sendiri. Hikmah dan seni berdiam diri, adalah suatu seni yang perlu digilap, khususnya pada akhir zaman yang dipenuhi kekaburan, syubhat dan fitnah yang berlaku secara sistemik dalam kehidupan kita. Mungkin inilah yang erti iman kepada Allah dan hari akhirat, yang disampaikan oleh Baginda SAW ; Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka berkatalah yang baik, atau diam. (HR Bukhari & Muslim) Wallahua'lam bissawaab.
Kaki yang kena galas tugas pula, sentiasa mendoakan agar kaki yang patah itu segera sembuh, sambil mengharapkan agar Allah SWT segera menyembuhkannya agar kedua-dua boleh saling bergerak, berlari dan melompat, memanjat bukit, dan melakukan perkara-perkara yang hanya boleh dilakukan oleh yang mempunyai dua kaki. Dengan ini saya lebih memahami maksud hadis : 'Perumpamaan orang mukminin pada kasih sayang mereka, ibarat sebuah jasad. Jika satu anggota sakit, seluruh badan akan mengadu kesakitan, samada dengan berjaga malam atau dengam demam'. Wallahua'lam bissawaab.
Fiqh Takaavur dalam Amal Kolektif Sewaktu saya di Mesir, kami bersama rakan-rakan seperjuangan ada memperkenalkan satu istilah tambahan kepada rukun usrah yang dikenali sebagai Taaruf, Tafahum dan Takaful. Sebelum ini, sebahagian murabbi kami menambah rukun keempat iaitu Intaj yang bermaksud produktif yakni mana-mana aktiviti usrah / tarbiah mesti menghasilkan produk, (samada berbentuk melahirkan pemuda dakwah, atau sebarang bentuk produk-produk dakwah yang boleh diukur dan dilihat), jika tidak ada produk dakwah, maka itu bermakna aktiviti itu tidak sempurna. Dalam pengamatan santai terhadap kerencaman personaliti, kepelbagaian aktiviti, program dan wasilah tarbiah yang berjalan, dengan meraikan pelbagai komitmen dan kesibukan, kami secara berseloroh memperkenalkan satu istilah yang digunakan secara tidak rasmi, iaitu satu rukun yang mesti ada dalam usrah dan amal jamaie, iaitu rukun takaavur. Ia tiada dalam kamus bahasa Arab kerana tiada huruf V dalam bahasa Arab. Walaupun mungkin boleh diambil dari Takaafur tetapi bagi mengelakkan perdebatan istilah dikhuatiri melibatkan kalimah kufur, maka dikekalkan sahaja pada istilah 'rojak' iaitu berasal daripada 'cover'. Jika digunakan wazan Mufa'alah (yakni ketersalingam perbuatan), ia jadi bentuk kalimahnya 'takaavur' yakni saling cover meng-cover. Walaupun ia tetap boleh disubsetkan di bawah rukun takaaful yakni saling mencukupkan satu sama lain, saya istilahkan ia sebagai takavur bagi saling menutupi kekurangan dan kelemahan sahabat seperjuangan. Ini kerana istilah takaful kebiasaannya digunakan dalam konteks menampung keperluan peribadi seperti kewangan, pembelajaran dan seumpamanya. Adapun istilah takaavur lebih menjurus kepada menutupi kelemahan dan kekurangan sahabat seperjuangan pada aspek perjuangan, amal organisasi, dakwah dan tarbiah. Contohnya jika ada seorang ahli diberi tugasan menyampaikan suatu daurah dengan tajuk tertentu, tetapi tiba-tiba hari itu dia demam, sakit atau ada keadaan tertentu, atas prinsip takaavur, seorang ahli lain secara sukarela, sukahati dan tanpa sebarang buruk sangka, akan mengambil alih tempatnya untuk menyampaikan daurah itu. Contoh yang lain jika ada seorang ahli ada kelemahan tertentu dari sudut pengurusan atau organisasi, tanpa sebarang bentuk menyalahkan atau menghentam, datang seorang sahabat yang lain menutupi kekurangannya, samada dengan menunjuk ajar, atau dengan menguruskannya dengan cara tertentu yang tidak menjatuhkan air mukanya. Contoh yang lebih umum pula bila berhadapan dengan kelemahan dan kesilapan mana-mana ahli, lalu roh dan semangat dalam pasukan akan menjurus kepada menutupi dan mengurus kesalahan dengan cara yang sewajarnya, bukan menyebar, menjaja cerita dan menambah rencah atas kesilapan yang dilakukan. Saya lihat rukun ini berakar umbi dari satu kefahaman bahawa semua ahli perjuangan ibarat satu jasad. Jika sebelah kaki patah, kaki yang sebelah akan menampung, tanpa sebarang rungutan. Jika tangan kiri disimen, tangan kanan akan menampung tugasannya, tanpa sebarang komplen atau rungutan. Asasnya adalah semua pihak dalam kumpulan mahukan yang terbaik, cuba lakukan yang terbaik, dan sedang berusaha lakukan yang terbaik, atas kapasiti dan kemampuan masing-masing. Jika berlaku kecederaan, kemalangan, kecelakaan, musibah dan perkara tidak diingini, hakikatnya tiada siapa mahukan ia berlaku. Justeru salah menyalahkan adalah satu perkara yang tidak perlu, kerana jika ia berlaku, ia hanyalah menambah luka kepada jasad sendiri. Mana ada orang salahkan kaki bila terpijak paku. Apabila jiwa menanggapi bahawa semua pihak sedang cuba lakukan yang terbaik, hilanglah rasa 'personal' dan 'sensitif' terhadap satu keputusan tertentu walau ia melibatkan batang tubuh sendiri. Kaki yang patah, jika disimen, dan tidak boleh berjalan, maka ketika ia berehat ia tidak pula iri hati kepada kaki lain yang menggalas tugasnya. Sebaliknya ia bersyukur kerana ada pihak lain yang tolong menggalas bagi pihaknya, untuk suatu tempoh hingga ia sihat.
SPM dan tambah tolak sifir kehidupan Suatu hari ketika saya berforum bersama seorang senior (ustaz) di Mesir, pada sekitar tahun 2012 saya berkenalan dengannya dan menceritakan serba sedikit latar belakang pengajian saya. Saya perhatikan beliau tidak banyak memuji seperti orang kebiasaan, tetapi beliau memberikan satu pesanan yang saya ingat hingga hari ini. Lebih kurang begini mesejnya : "Untuk orang macam ustaz ini, saya risau satu sahaja. Saya risau sikit jika ustaz jatuh, iaitu jika ustaz hadapi kegagalan." Saya pada mulanya hanya mengambil pesanan itu secara bersahaja, dan dengan perasaan 'sedikit konfiden', saya hanya simpan sahaja pesanan itu, 'kononnya' saya boleh hadapi ujian hidup sepertimana saya laluinya sebelum ini. Ternyata, saya gagal pada tahun pertama Tamhidi (Asasi) Master, di Al-Azhar, kena mengulang tahun, dan saya senyum. Saya habiskan Tamhidi dalam 3 tahun (kebiasaannya 2 tahun jika lulus 'straight'). Kemudian setelah itu saya gagal lagi dalam mendapat tajuk tesis, dalam tempoh setahun, kerana saya mengambil masa 3 tahun untuk mendapat tajuk yang direstui oleh pihak Jabatan Usul Fiqh. Saya dengan izin Allah menamatkan Masters dalam tempoh sekitar 10 tahun, yang sepatutnya jika GOT adalah 4 tahun. Sehingga kini, saya banyak mengalami kegagalan demi kegagalan dalam hidup, yang hanya saya dan Tuhan saja yang tahu perkara itu. Walau di luar dan sosial media saya 'mungkin' dilihat berjaya dan bergaya, hakikat yang berlaku tidak semua orang tahu. Dengan berlalunya kehidupan, saya mula memahami pesanan ustaz senior itu. Kejayaan dan kegagalan adalah susun atur kehidupan yang ditetapkan Tuhan untuk seseorang itu mengatur keseimbangan rohani di hadapan Tuhan, dan kesejahteraan emosi di khalayak makhluk Tuhan. Bila berjaya, jangan mendabik dada. Bila gagal, jangan putus asa. Kedua-dua keadaan itu hakikatnya adalah anugerah Tuhan jua, Dia menguji kita dengan kejayaan untuk kita merasai manisnya 'buah' syukur, dan menguji kita dengan kegagalan untuk merasai pahitnya 'buah' sabar. Kedua perasa itu perlu dirasai, bagi menyempurnakan hakikat perhambaan, bahawa kita bukan siapa-siapa, hanyalah sebahagian daripada ketentuan Tuhan. Wallahua'lam bissawaab.
Qiamullail Khatam Malam Ini InsyaAllah malam ini khatam Al-Quran dalam qiamullail. Ya, malam ini, Ahad malam Isnin. Tempat : Surau Ar-Rahmaniah, Taman Harmoni Bermula sekitar jam 2.00 pagi dan berakhir sekitar 5.30 pagi. Bacaan sekitar 3 juzuk dalam 8 rakaat. (Juzuk 28-30) Sahur disediakan. Jemput hadir bagi yang berkelapangan.
Qiamullail Khatam Nuzul Al-Quran 17 Ramadan 1447 / 7 Mac 2026 Diriwayatkan bahawa Anas bin Malik RA menghimpunkan anak-anak dan keluarganya ketika khatam Al-Quran dan mendoakan mereka. Mujahid menyatakan bahawa para salaf berkumpul ketika khatam Al-Quran dan berkata bahawa rahmat turun ketika khatam Al-Quran. Ibnu Abbas RA sendiri pernah mengupah seseorang untuk mencari orang yang membaca Al-Quran, apabila ia hampir khatam ia akan mengkhabarkan kepada Ibnu Abbas RA dan beliau akan menyaksikan 'khatam' itu. Atas inspirasi salafussoleh, dan mengambil keberkatan malam 17 Ramadan, maka dengan izin Allah, Jumaat malam Sabtu akan diadakan qiamullail dengan pendetailan berikut : Hari : Sabtu (pagi) 7 Mac 2026 Bacaan : 3 juzuk (8 rakaat) Juz 28-30 (Khatam) Tempat : Surau Ar-Rahmaniah, Taman Harmoni, Kajang. Mula : Sekitar 2 pagi Tamat : Sekitar 5.30 pagi Sahur istimewa disediakan. Digalakkan bawa makanan dan bekalan untuk free-flow snack. Dijemput hadir beramai-ramai. Wallahua'lam bissawaab.
BERTASBIH DAN QIAMULLAIL BERSAMA BARISAN PLANET DI SISTEM SOLAR InsyaAllah pada malam ini, pihak Surau Ar-Rahmaniah akan menganjurkan Qiamullail Minggu Kedua Ramadan. Tempat : Surau Ar-Rahmaniah, Taman Harmoni Hari : Sabtu malam Ahad (28 Feb malam 1 Mac 2026) Waktu : 4.00 pagi - 5.30 pagi InsyaAllah ada sahur disediakan. Jemput hadir bagi yang berkesempatan, kita hidupkan malam Ramadan, bersama satu fenomena julung kalinya berlaku di mana para planet yang juga berbaris, bertasbih memuji Tuhan sekalian alam. Wallahua'lam bissawaab.
QIAMULLAIL MINGGU PERTAMA RAMADAN Tempat : Surau Ar-Rahmaniah, Taman Harmoni, Kajang Hari : Ahad Waktu : 4.00 pagi - 5.30 pagi Sahur disediakan. Ruang surau boleh digunakan untuk bermalam/iktikaf. Jemput hadir beramai-ramai.
Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak Saya ingin mengucapkan kepada seluruh umat Islam 'Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak'. Moga Allah memberkati umur, waktu dan tenaga kita, menerima taubat kita dan mengampunkan dosa-dosa kita. Marilah kita berazam untuk meningkatkan tahapan puasa berkadaran dengan tingginya ketahanan kita daripada perkara-perkara yang mengganggu amal ibadat kita di bulan Ramadan, terutamanya ibadat puasa, tilawah Al-Quran dan qiamullail. Ingatlah bahawa setiap saat di bulan Ramadan adalah bernilai 70 kali ganda di bulan lain, dan ketika lailatul qadar beribu kali ganda di tempat lain. Moga kesempatan yang diberikan Tuhan di bulan ini dimanfaatkan dan mampu memberi kesan kepada kemajuan diri, keluarga, masyarakat dan ummah secara keseluruhannya. Wallahua'lam bissawaab.
Ramadan adalah taman-taman syurga orang beriman Sempena menyambut bulan Ramadan, marilah kita melakukan penambahbaikan kepada amal ibadah kita, seterusnya membetulkan kompas kehidupan kita di dunia sebagai bekalan menuju hari akhirat. Ramadan yang datang dengan seribu bentuk ketaatan dan rahmat dari-Nya, hakikatnya sedang menyuntik jiwa-jiwa umat Muhammad SAW dengan suntikan ketahanan hati dan kesuburan jiwa. Kekuatan itu datang dengan bentuk kesempurnaan ubudiyah, lalu menatijahkan sebuah keyakinan terhadap satu hakikat kewujudan yang tidak boleh dicapai semata-mata pancaindera dan riadah akli berpaksikan logik akal semata-mata. Ia akan menghasilkan jiwa mukmin yang berserah dan bergantung semata-mata kepada Allah SWT dalam perihal kehidupannya, walau apa jua halangan dan cabaran duniawi yang dihadapi. Ia pernah diungkapkan oleh Imam Ibnu Taimiyah RHM ketika ia berkata : "Apa yang boleh dilakukan musuhku kepadaku? Sesungguhnya syurgaku dan tamanku ada pada jiwaku. Jika mereka memenjarakanku, maka ia adalah khulwah (beruzlah). Jika mereka menghalauku, maka ia adalah siyahah (permusafiran). Jika mereka membunuhku, maka ia adalah syahadah (mati syahid kerana pertahan agama Allah)" Beliau juga pernah berkata: "Sesungguhnya di dunia ada satu syurga, siapa yang tidak memasukinya di dunia, tidak akan memasukinya di akhirat" Mungkin ada yang tertanya, apakah ia syurga dunia? Walaupun ada hadis-hadis sahih yang menjelaskan ia berbentuk halaqah zikir, majlis ilmu dan seumpamanya, saya suka naqalkan penjelasan Ibnu Barrajan RHM mengenai perkara ini. Ibnu Barrajan RHM menjelaskan bahawa setiap amalan-amalan soleh berupa ibadah hati seperti keimanan, keyakinan, tawakkal, atau ibadah jasad seperti solat, puasa, sedekah dan seumpamanya, adalah syurga batin di dunia, dan zahir di akhirat. Sepertinya jua, dosa adalah neraka batin di dunia, dan ia menjadi zahir di akhirat. Yakni ahli neraka hanya akan diazab dengan amalannya sendiri yang dizahirkan. Bagi orang beriman, mereka sudah pun memasukinya dan merasainya di dunia lagi, iaitu perasaan syurga batin itu, sebelum mereka memasukinya secara zahir di akhirat nanti. Ini jua adalah satu peringkat dalam ubudiyah, apabila seseorang mula melihat amalan-amalan ibadah sebagai satu perkara yang 'real' dan 'wujud', bukan semata-mata ritual ibadat yang dicatat para malaikat, yang bermula dengan rukun takbiratul ihram dan berakhir dengan rukun beri salam. Semoga Ramadan kali ini dapat menemukan kita kepada 'merasai' syurga-syurga batin di dunia, sebelum dapat memasukinya secara zahir di akhirat kelak. Allahumma ballighna Ramadan! Wallahua'lam bissawaab.
Selamat Menghidupkan Malam Nisfu Syaaban Saya ingin mengucapkan selamat menyambut dan menghidupkan malam Nisfu Syaaban. Walaupun tiada nas khusus yang sampai martabat sahih terhadap amalan tertentu pada malam Nisfu Syaaban, seperti yang disebut oleh Ibnu Rajab, namun menghidupkannya merupakan satu amalan yang diwarisi daripada para salafussoleh yang menunjukkan besarnya kelebihan malam ini. Antaranya hadis riwayat Saidatina Aisyah RA bahawa suatu hari beliau mencari Rasulullah SAW pada suatu malam lalu menemui Baginda SAW di Baqi', dan Rasulullah bersabda : "Sesungguhnya Allah turun (melimpahkan rahmat-Nya) pada malam Nisfu Syaaban, ke langit dunia, lalu mengampunkan dosa manusia dengan bilangan lebih banyak daripada bulu kambing Bani Kalb" - HR Tirmzi Amalan para salafussoleh dalam menghidupkan malam ini tercatat dalam karangan para ulamak terhadap sejarah mereka. Ada yang solat sebanyak seratus rakaat, ada yang duduk di masjid beribadah hingga ke subuh mengkhatamkan Al-Quran, dan seumpamanya. Orang yang bijak akan mencontohi mereka (para salafussoleh) yang telah lalu dalam beragama. Moga Allah menggolongkan kita di kalangan para hamba-Nya yang solihin dan siddiqin. Wallahua'lam bissawaab.
Manusia antara afiyah (sejahtera) dan ibtila' (ujian) Daripada Malik RHM Telah sampai kepadanya bahawa Nabi Isa AS bersabda : "Janganlah kalian banyak berkata-kata selain zikrullah, lalu ia akan mengeraskan hatimu. Sesungguhnya hati yang keras jauh daripada Allah. Janganlah kalian melihat dosa manusia ibarat kalian adalah para tuan. Bahkan lihatlah dosa kalian sendiri ibarat kalian adalah para hamba. Sesungguhnya manusia hanya dua : diberi ujian, atau diberi kesejahteraan. Maka rahmatilah ahli bala' (orang yang ditimpa ujian), dan syukurilah Allah atas nikmat afiyah (kesejahteraan)". Dipetik daripada Al-Istizkar oleh Abu Umar Ibnu Abd Al-Barr Itulah kesimpulan keadaan manusia. Dan demikian jugalah kesimpulan tindakan manusia yang paling relevan. Drama-drama kehidupan hanya mengukuhkan hujjah bahawa dunia dan kehidupan hakikatnya adalah medan ujian dan bersilih gantinya kesejahteraan dan ujian. Kedua-duanya, hakikatnya Tuhan juga yang mengurus, menyusun, mencorak, dan mentadbirnya. Tidaklah tindakan-tindakan manusia, melainkan hanyalah tabir kepada suatu tadbir Rabbani yang teragung, terindah dan paling sempurna, hingga melangkaui kesempurnaan yang pernah dibayangkan oleh manusia. Oleh itu, laluilah ujian dan drama kehidupan ini dengan tindakan yang paling relevan, iaitu menyalurkan rahmat-Nya kepada makhluk, memberi harapan, mengungkapkan kesetiaan dan kebersamaan, agar semua pemain di medan boleh melakukan peranannya dengan sempurna. Janganlah pula jadi syaitan yang suka merosakkan suasana, menghilangkan kebersamaan dan merobohkan kesetiaan, lalu si pemain akan memberontak dan cuba bertindak keluar dari kotak perlawanan, yang hanya menyebabkan ia tersingkir atau mungkin diberikan kad merah sebagai hukuman agar tidak mengulangi kesilapan lalu. Semaikan sangka baik sesama insan, bahawa kita semua adalah para hamba yang sedang berjuang menyelesaikan kekusutan masalah masing-masing. Semua dari kita sedang menyusun langkah masing-masing. Tiada yang lebih dari menjadi sekadar seorang hamba yang sedang diuji oleh Tuannya, samada meningkatkan martabatnya atau membersihkan dosanya. Jika pun diberi kesejahteraan, tiadalah ia melainkan kurniaan-Nya jua, tiada sekelumit rasa 'entitled' atau 'layak' pun, melainkan ia adalah juga ujian dalam medan pertempuran dunia ini. Moga Allah berikan kita jiwa yang sentiasa memerhatikan tadbir-Nya, dan bersangka baik kepada setiap takdir-Nya. Wallahua'lam bissawaab.
QIAMULLAIL PERSEDIAAN RAMADAN Memandangkan ketibaan bulan Ramadan 1447H kurang dari 30 hari, maka dengan sukacitanya dimaklumkan bahawa pihak Surau Ar-Rahmaniah, Taman Harmoni, Kajang akan menganjurkan program Qiamullail sempena persediaan menyambut bulan Ramadan Al-Mubarak. Tarikh : 25 Januari 2026 / 6 Syaaban 1447 H Tempat : Dewan Utama, Surau Ar-Rahmaniah Waktu : 4 pagi - 5.50 pagi InsyaAllah program Qiamullail ini akan dipimpin oleh Imam 1 Surau Ar-Rahmaniah, Ustaz Syamil Esa. Dijemput kepada semua yang berkelapangan untuk bersama memeriahkan program ini dan mengajak ahli keluarga serta kenalan yang lain untuk bersama melakukan persediaan menyambut bulan yang agung ini. Moga kita semua dipilih Allah untuk menghidupkan malam-malam Ramadan yang penuh barakah dan limpahan rahmat-Nya.
Tarannum, Kemuliaan Al-Quran dan Perjuangan Dua tiga hari ini tular isu teguran seorang ustaz yang senior terhadap beberapa gelagat para qari muda yang mempamerkan seni tarannum Al-Quran dengan cara yang tidak wajar. Teguran itu juga disambut baik oleh pihak yang terlibat dan seterusnya menutup perbalahan sedia ada atas satu landasan yang sama bahawa Al-Quran ada haibah dan ketinggiannya, sama sekali tidak wajar diperlihatkan atau diperlakukan seperti nyanyian dan hiburan yang longgar apatah lagi jika melibatkan perkara yang tidak patuh syariah. Saya melihat kita sewajarnya meletakkan perkara ini pada kedudukan yang betul, setiap ilmu ada peranannya dan setiap manusia ada medannya. Saya berpegang kepada : 1. Tajwid dan fasohah lebih utama daripada lagu dan suara. Saya yakin perkara ini adalah suatu yang badihi (diterima semua) oleh semua qari yang bergelumang dalam dunia tarannum dan maqamat. Saya hanya nyatakan ia sebagai peringatan kepada masyarakat awam yang terpana dengan irama tetapi melupakan keaslian bacaan yang lebih utama. 2. Ahli Al-Quran, sama ada penghafaz Al-Quran, qari, atau pelajar jurusan Ilmu Al-Quran perlu mempamerkan akhlak Al-Quran yang menjelmakan keindahannya, ketinggiannya, dan kemuliaannya. 3. Tarannum bukan sekadar untuk sedap didengar di telinga. Ia hakikatnya sebahagian daripada seni dalam menjelmakan makna Al-Quran itu al-Balaagh (sampai makna). Justeru ia memerlukan jiwa yang benar-benar makmur dan hidup di dalam alam Al-Quran untuk menyampaikan manusia kepada alam Al-Quran. 4. Jika jiwa qari itu tidak makmur, kosong dan kering daripada siraman air jernih dari alam Al-Quran, ia hanya akan membawa pendengar, penonton dan masyarakat berpusing-pusing pada alam zahir (al-mulk) ini, kerana jiwanya tidak pun mengetuk pintu-pintu alam malakut itu. 5. Suara dan irama yang terpancar adalah terjemahan kepada perasaan dan jiwa yang tersembunyi. Jika jiwa itu bersambung dengan alam malakut dan alam Al-Quran, suara itu akan menarik pendengarnya ke destinasi yang sama. Jika tidak, maka tidak. 6. Masyarakat awam perlu memahami tujuan Al-Quran yang lebih utama, setelah merasai ketinggian nilai bacaan Al-Quran yang merdu dan menggamit jiwa dan perasaan. Iaitu tujuan Al-Quran diturunkan untuk dihayati, diterokai makna dan pesanannya, dan diamalkan ajarannya pada setiap masa dan ketika. 7. Umat perlu meletakkan diri di hadapan Al-Quran seperti seorang tentera yang menunggu arahan komandernya. Atau sebagai seorang hamba yang menanti arahan tuannya. Atau sebagai seorang manusia yang menanti arahan Tuhannya. Bagaimana mungkin seseorang yang menanti arahan-arahan itu hanya melihat bentuk dan iramanya, tetapi mengabaikan arahan dan tuntutannya? 8. Apakah pula gelaran kepada mereka yang hanya memerhatikan keindahan laungan Al-Quran, tetapi mengabaikan secara tidak sedar, petunjuk dan seruan perubahan kemanusiaan secara total, yang menuntut pemikiran, pengorbanan, kesungguhan dan perjuangan yang tidak berkesudahan dalam peperangan hak dan batil itu? Saya risau dan khuatir, jauhnya kita dari isu yang utama, akan menjadikan kita terperangkap dalam talbis Iblis yang menyibukkan kita dengan isu-isu kecil, dan mengabaikan isu-isu yang lebih besar. Moga dengan pegangan ini, kita mampu membawa sesuatu yang lebih besar dan bermakna, yang melangkaui rongga halkum dan lubang telinga. Wallahua'lam bissawaab.
Tugas murabbi 'membuka hijab' anak buahnya Nabi SAW bersabda : "Syurga itu ditutupi dengan perkara yang tidak disukai. Dan neraka itu ditutupi dengan perkara yang disukai syahwat" - HR Muslim Hadis yang biasa disebut sebagai pengajaran umum di dunia bahawa rahsia dan hikmah tadbir Allah SWT terkandung pada apa yang disebalik tabir. Naratif umum memahami hadis ini adalah memahami syurga itu harganya mahal, ia perlu dibayar dengan kesanggupan jiwa untuk menanggung beban, kesusahan dan menolak kehendak jiwa untuk menongkah 'dinding kesusahan' agar menuju ke syurga. Namun perspektif saya bertambah apabila membaca ulasan Al-Imam Asy-Syaarani RHM terhadap hadis ini : "Telah bersepakat kaum (ahli tazkiyah dan mujahadah) bahawa tidak boleh tidak, bagi orang yang mahu tinggalkan syahawat dan menanggung keberatan dan kesusahan, hendaklah ia melalui satu perjalanan rohani (suluk) di bawah bimbingan sheikh (guru) yang benar, yang akan 'melembutkan' kekerasannya, dan menipiskan hijabnya, hingga ia boleh menyaksikan syurga dan neraka, seolah-olah ia melihatnya. Jika tidak, maka hakikatnya orang yang terhijab (dari melihat syurga dan neraka) tidak akan mampu untuk meninggalkan syahwatnya, dan menanggung perkara yang tidak disukainya" - Mukhtasar Kitab At-Tazkirah tulisan Al-Qurtubi oleh Al-Imam Asy-Syaarani RHM Benar, inilah hakikatnya peranan murabbi. Ia memimpin anak buahnya merentasi hijab-hijab fatamorgana dunia, agar sentiasa menyaksikan syurga dan neraka di depan mata. Inilah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat RA, hingga kita biasa membaca hadis Harithah bin Zaid RA mengenai soalan baginda SAW kepadanya: "Bagaimana engkau berpagi-pagian hari ini?", yang dijawab dengan penuh keyakinan dan keimanan bahawa imannya kukuh dan beliau ibarat menyaksikan syurga dan neraka. Jadi, wahai para murabbi dan muridnya, bagaimana kalian berpagi-pagian hari ini? Wallahua'lam bissawaab.
Rumah di syurga lebih dikenali berbanding di dunia "Demi yang jiwa Muhammad (SAW) di tangan-Nya, sesungguhnya salah seorang dari kamu lebih mengenali rumahnya di syurga berbanding di dunia" - HR Bukhari Suatu renungan yang wajar dilihat, iaitu bagaimanakah seseorang itu lebih mengenali rumahnya di syurga, sedangkan dia tidak pernah ke syurga, dan tidak pula pernah memahami bagaimana rumahnya dibina di syurga. Walaupun ia boleh dijelaskan dengan satu ayat Al-Quran dalam surah Muhammad ayat ke-6 yang berbunyi : "Dan Dia memasukkan mereka (orang beriman) ke syurga, Dia yang memperkenalkannya kepada mereka" Namun tidak salah jika kita memahami bagaimana cara Tuhan memperkenalkannya kepada hamba-Nya, dengan melihat beberapa petunjuk daripada hadis-hadis Nabi SAW terhadap apa yang berlaku selepas mati. Saya menyatakan, dengan izin Allah SWT : Apabila manusia meninggal dunia, dan memasuki alam barzakh, segala amalan-amalannya yang sebelum ini adalah makhluk rohani yang ghaib, kini mula terzahir dan boleh dicerap dengan pancaindera roh di alam barzakh. Al-Quran akan menjadi temannya, amalan-amalan soleh akan menjadi perkakas dan peralatannya di alam kubur, serta pelbagai perkara yang boleh menjadi syafaat dan pembantunya dalam mengharungi alam kubur. Pelbagai hadis menunjukkan bahawa amalan-amalan ini akan menjadi zahir, dari alam barzakh hinggalah ke alam sirat, dan akan terus ke alam syurga. Istighfar boleh menjadi pemadam api, tasbih boleh menjadi sepohon kurma, solt rawatib menjadi istana, sedekah boleh melajukan perjalanan di mahsyar, dan di sirat, dan seumpamanya. Ini kerana bertepatan dengan kaedah : "Ganjaran berkadaran dengan amalan", maka seseorang itu boleh memahami bahawa segala amalannya di dunia sedang dicerminkan ke dalam bentuk yang zahir di alam akhirat. Oleh itu, seseorang itu apabila masuk ke syurga, hakikatnya hanya memerhatikan cerminan amalannya di dunia, lalu atas sebab itu ia lebih mengenali rumahnya di syurga berbanding rumahnya di dunia. Ini kerana rumahnya di dunia dipenuhi dengan perkara yang boleh berubah, dan tidak semuanya seperti yang dibayangkan seadanya. Boleh jadi rumahnya ditimpa banjir, jalannya ditutup, tersesat jalan, dan berlaku perubahan demi perubahan yang di luar perkiraannya. Adapun rumahnya di syurga, segala petunjuk (waze) ke rumahnya hanyalah satu bentuk cerminan perjalanannya ke surau, bentuk rumah yang terzahir adalah cerminan solatnya di dunia, taman-taman di sekeliling adalah cerminan tasbihnya, perhiasan di sekelilingnya adalah cerminan sedekahnya, air sungai yang tersedia adalah cerminan puasanya, dan begitulah seumpamanya, semuanya dikenali dengan lebih dekat, kerana yang dilihat hanyalah ... cerminan dirinya sendiri. Dengan kefahaman ini, maka dapatlah sedikit kita memahami ayat Allah SWT : "Barangsiapa yang bermujahadah, maka sesungguhnya mujahadahnya adalah untuk dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah Maha Kaya terhadap seluruh alam" - Surah Al-Ankabut, ayat ke-6 Wallahua'lam bissawaab.